Seorang perwakilan di kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa penyanyi popular Asmawi Ani, atau lebih dikenali sebagai Mawi, pernah terlibat membantu PKR dalam pilihanraya umum 1999.
Pembahas dari Johor, Zabidie Abas berkata, bintang paling popular Akademi Fantasia itu pernah menampal poster bersama jentera parti di negerinya.
"Kita hendak imbas kembali nostalgia beliau (Mawi) panjat pokok kelapa (menampal poster) bersama kita," katanya sewaktu membahaskan ucapan dasar ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin bertemakan 'Memimpin Harapan Rakyat'.
"Saya dari Kulai, Mawi dari Kulai. Tuan-tuan tahu, dulu beliau bersama-sama saya tampal poster. Dia jentera bawah saya," katanya, disambut tepukan gemuruh daripada hampir 600 perwakilan pergerakan itu dari seluruh negara.
Pembahas pertama itu yang tampil di pentas petang ini menyarankan PKR mengambil sikap mendekati golongan seniman, termasuk penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.
Ditemui pemberita selepas pembentangannya, beliau berkata Mawi pernah bergiat bersama PKR dalam pilihanraya umum ke-10 dan menyertai parti itu di bahagian Senai.
Bagaimanapun, katanya, senarai keahlian yang dikeluarkan PKR tahun ini tidak menyebutkan nama Mawi.
Cerita mengenai Mawi itu turut menarik perhatian seorang lagi perwakilan pembahas yang turut menyentuh perkara itu apabil tiba gilirannya naik ke pentas.
Memulakan perbahasannya, perwakilan daripada Pahang, Nizal Jamin secara berseloroh berkata: "Kita di Pahang kalah sikit daripada Johor. Di Kuala Lipis, Siti Nurhaliza belum gantung poster kita lagi."