Perpecahan dalam Wanita Umno tercetus sejurus selepas Tan Sri Rafidah Aziz membuat pengumuman mengejut mengenai peralihan kuasa pada Jun 2009 di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 4 Ogos lalu, dakwa seorang exco Wanita.
Menurutnya, Rafidah membuat pengumuman tersebut dalam majlis Wanita bersama pemimpin, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dirasmikan oleh perdana menteri.
Kira-kira 600 pemimpin Wanita, termasuk ketua Wanita bahagian dari seluruh negara menghadiri program sehari suntuk itu.
Exco Wanita itu yang tidak mahu namanya disebut memberitahu, ramai pemimpin Wanita terkejut dengan pengumuman Rafidah.
"Saya lihat ramai yang terdiam, dan tidak ramai yang tepuk tangan. Mungkin orang tidak tahu apa yang berlaku.
"Tetapi sebaik sahaja Abdullah selesai berucap merasmikannya, pemimpin Wanita mula bercakap mengenai pengumuman Tan Sri Rafidah itu."
Perdana menteri juga katanya, tidak mengulas langsung tentang pengumuman peralihan kuasa oleh Rafidah itu.
'Ramai tidak puas hati'
"Mereka bertanya sesama sendiri kerana masing-masing tidak tahu mengenai pelan peralihan kuasa itu," katanya kepada Malaysiakini semalam.
Sebaliknya, kata exco Wanita itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, dalam ucapan penutup majlis tersebut, berkata beliau menerima baik pelan peralihan kuasa tersebut.
Bagaimanapun, katanya, ramai ahli yang masih tidak puas hati dan bercakap mengenainya.
Berikutan itu, tambahnya, isu peralihan itu dibincangkan untuk buat pertama kalinya dalam mesyuarat exco Wanita yang diadakan pada 25 September.
"Beberapa ahli exco memberitahu mesyuarat dan Tan Sri Rafidah bahawa mereka tidak puas hati dengan pengumuman beliau kerana ia tidak dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat exco.
"Tan Sri Rafidah menjelaskan, jawatan ketua dan naib ketua tidak akan ditandingi. Ketua ialah beliau sendiri manakala Datuk Seri Shahrizat, naib ketua.
"Pelan itu, menurut Tan Sri Rafidah adalah untuk mengelak perpecahan dalam pergerakan itu jika jawatan utama ditandingi.
Kemunculan Kamilia
"Exco pada masa itu, menerima pelan tersebut setelah dijelaskan secara panjang lebar oleh Tan Sri Rafidah dan exco-exco yang lain yang menyokongnya," katanya lagi.
Tetapi, kata exco Wanita tersebut, ramai ketua bahagian Wanita di seluruh negara yang masih tidak mahu menerima pelan peralihan kuasa tersebut.
Mereka, katanya, memberi alasan mahu memilih sendiri pucuk pimpinan pergerakan tersebut ekoran kekalahan teruk Umno dalam pilihanraya umum lalu.
Berikutan itu, mereka mencalonkan Shahrizat untuk bertanding jawatan ketua Wanita walaupun exco meminta mereka jangan berbuat demikian.
Pada masa yang sama, katanya, Shahrizat turut dicalonkan untuk mempertahankan jawatan naib ketua sebagaimana dalam perancangan awal.
"Tetapi agak memeranjatkan bagaimana nama Datuk Kamilia Ibrahim boleh dicalonkan untuk bertanding jawatan naib ketua." katanya.
'Shahrizat tiada ruang'
Sehari sebelum mesyuarat exco Wanita pada 10 November, Shahrizat telah mengeluarkan satu kenyataan meminta Rafiah mempercepatkan pelan peralihan kuasa kepada Mac depan.
"Dalam mesyuarat keesokannya, Tan Sri Rafidah menyoal Shahrizat mengapa beliau membuat kenyataan media tersebut.
"Tan Sri Rafidah juga berkata, beliau tidak akan berganjak dengan tarikh peralihan kuasa tersebut. Datuk Seri Shahrizat dan exco yang lain seolah-olah dipaksa menerima pelan tersebut.
"Datuk Seri Shahrizat tidak dapat bersuara secukupnya kerana mesyuarat itu didominasi oleh exco yang menyokong Tan Sri Rafidah," katanya lagi.