dikemaskini Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mengakui terdapat anggota parti itu yang percaya terhadap tuduhan bahawa penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong tentang projek pembentukan kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September lalu.
"Tidak ramai yang mempercayai propaganda (media arus perdana) ini.
"Malangnya saya lihat ada juga segelintir paling kecil anggota PKR, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Wanita PKR, yang termakan oleh propaganda murahan ini," katanya sewaktu merasmikan kongres dua sayap utama parti itu di Stadium Malawati, Shah Alam pagi ini.
Bagaimanapun, menurutnya, sebilangan besar rakyat, dan hampir semua anggota parti dalam Pakatan Rakyat tetap mengharapkan projek itu menjadi kenyataan setidak-tidaknya dalam pilihanraya umum akan datang.
"Saya tahu bahawa seluruh anggota parti dan rakyat yang mahukan perubahan yakin Anwar becakap benar tentang bilangan Anggota Parlimen yang hendak berpindah itu cukup," katanya.
Pemimpin nombor dua dalam PKR itu berkata demikian ketika menjawab tuduhan terhadap pemimpin Pakatan bahawa Anwar berbohong tentang bilangan ahli-ahli parlimen BN yang hendak melompat kepada gabungan pembangkang bagi menumbang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dr Syed Husin berkata, dakwaan yang dibuat melalui media milik parti BN juga mendakwa projek itu gagal kerana Umno-BN serta pimpinan parti itu kuat dan bersatu-padu.
Mengulas projek pembambilalihan kuasa itu, Dr Syed Husin menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan "perpindahan kuasa belum dapat dilaksanakan".
"Kita tahu ramai telah memberi surat pengakuan atau menyediakan surat sumpah akan berpindah. Namun ada yang takut (mereka) mungkin disekat apabila diperlukan bangun dalam Parlimen untuk membuktikan sokongan kepada sebarang usul yang dikemukakan pihak Pakatan," katanya.
Dr Syed juga mendakwa ahli-ahli parlimen itu menerima tekanan dan ugutan yang kuat, antaranya daripada polis Cawangan Khas (SB) yang "sepanjang masa bertunggu bertangga mengawasi segenap pergerakan mereka (ahli parlimen BN)".
Selain itu, katanya lagi, percubaan pemimpin Pakatan hendak bertemu perdana menteri bagi meminta sidang khas Parlimen diadakan bagi membincang dan memutuskan pelan perpindahan kuasa itu sentiasa ditolak.
"Memandangkan segala hambatan dan halangan ini, maka perpindahan kuasa belum dapat dilaksanakan lagi. Tetapi ini bukannya bermakna ia gagal dilaksana buat selama-lamanya," katanya.
Dr Syed Husin menjangkakan Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menyentuh lanjut perkara itu dalam ucapan masing-masing di kongres tahunan kelima PKR selama dua hari yang bermula esok.
Wan Azizah pagi esok akan menyampaikan ucapan dasar beliau bertemakan 'Harapan Baru', sementara Anwar sebagai ketua umum PKR akan turut menyampaikan ucapannya selepas itu.
Bercakap dalam sidang media selepas majlis perasmian itu, Dr Syed Husin berkata tarikh 16 September yang disebut-sebut sebelum ini hanyalah "permulaan kepada perubahan dan bukannya pengakhiran kepada segala-galanya".
PKR sekarang, katanya, "bercakap sedikit, kerja banyak" ke arah pembentukan kerajaan persekutuan seperti diusahakan Anwar.
Mengulas pengambilalihan itu, beliau berkata: "Ia mungkin datang lebih awal daripada pilihanraya umum ke-13."