Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang ahli PAS yang merancang membentang usul mengawal jualan arak di Majlis Perbandaran Klang (MPK) membatalkan hasrat itu di saat-saat akhir semalam kerana tidak mahu ia menjadi isu politik.

Mohd Termizi Ismail, anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, asalnya berhasrat membentangkan cadangan itu dalam mesyuarat bulanan pagi semalam.

Bagaimanapun, sehingga akhir mesyuarat tengah hari semalam, perkara itu tidak menjadi kenyataan.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Termizi berkata, beliau membatalkan hasratnya itu setelah menimbangkan maklum balas rakan-rakannya yang bimbang usul yang bakal dibawanya dibesar-besarkan sehingga boleh mencetuskan kontroversi.

Lagipun, kata aktivis PAS kawasan Kota Raja itu, cadangannya telah dilaporkan media dengan meluas dan semua pihak telah mengetahuinya.

Semalam, akhbar-akhbar berbahasa Cina mendedahkan cadangannya itu untuk membataskan jualan alkohol di beberapa premis terbuka sehingga mencetuskan kebimbangan bahawa Selangor berniat mengharamkan minuman keras.

Dalam kertas cadangan itu , kini tersebar meluas di kalangan media, Mohd Termizi mencadangkan:

bullet button arak dijual di sudut agak tertutup dan papan tanda melarang jualan kepada umat Islam hendaklah dipaparkan dengan jelas,

bullet button kaunter jualan hendaklah dikendalikan oleh pekerja bukan Islam. Kaunter khas harus diwujudkan untuk jualan barangan bukan halal.

bullet button MPK melarang jualan alkohol di premis-premis berikut: kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit, pasar mini, kedai ubat, restoran terbuka dan kiosk di stesen minyak.

Mengesahkan kertas cadangan yang beredar meluas itu, Mohd Termizi bagaimanapun tidak mengetahui bagaimana ia boleh jatuh ke tangan media.

Untuk kebaikan semua pihak, tambahnya, beliau membenarkan media menerbitkan cadangannya itu. [ Lihat sedutan kertas cadangannya di sini ]

Mohd Termizi berkata beliau sentiasa konsisten menyuarakan cadangan ini sejak 2006, sewaktu cadangannya diserahkan kepada seorang exco kerajaan Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil.

Akhbar-akhbar itu juga membayangkan wujud gerakan di kalangan ahli-ahli PAS yang menduduki majlis PBT di negeri itu untuk memperkenalkan dasar itu setelah ditolak oleh mesyuarat exco kerajaan bulan lepas.

Susulan kontroversi itu, menteri besar Selangor petang semalam berkata "semua keputusan di peringkat PBT mesti selari dengan keputusan yang dibuat oleh exco negeri".

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menambah, mesyuarat exco hanya memutuskan meningkatkan penguatkuasaan dengan melarang penjualan alkohol kepada mereka bawah 18 tahun dan kepada masyarakat Islam.

Sehubungan itu, katanya lagi, PBT yang telah membuat keputusan berkenaan hal itu seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diminta menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras sehingga diputuskan oleh kerajaan negeri.

Rundingan dengan PBT, NGO, peniaga dan jabatan kerajaan akan diadakan awal tahun depan sebelum keputusan lanjut tentang perkara itu diambil, tambah Abdul Khalid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS