Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini menafikan dakwaan yang disiarkan di laman web dan cakap-cakap bahawa dia kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan mengidap penyakit kelamin sehingga ke tahap lebih liar kononnya telah meninggal dunia.

Mohd Saiful, 23, yang sebelum ini mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dibacanya kepada wartawan selepas hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pagi ini.

mohd saiful bukhari azlan at jawi 271108 Dia menyifatkan semua adalah tidak benar dan merupakan fitnah serta suatu pembohongan besar yang direkacipta oleh pihak-pihak yang tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Saiful:

"Saya dengan ini menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya, yang tersebar di dalam laman-laman web serta cakap-cakap yang menyatakan kononnya, saya kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan mengidap penyakit kelamin sehingga ke tahap saya telah meninggal dunia.

Ini semua adalah tidak benar dan merupakan fitnah serta suatu pembohongan besar yang direkacipta oleh pihak-pihak yang tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya adalah sangat baik dan tidak sebagaimana yang difitnah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saya sendiri berdoa ke hadrat Allah SWT agar kebenaran dapat ditegakkan."

Sebelum membaca kenyataan tersebut, Saiful memberitahu pemberita yang dia tidak mahu mengulas lanjut tujuan kehadirannya di JAWI hari ini.

Peguam: Sedikit perbincangan

Sebelum itu, Mohd Saiful tiba pada kira-kira jam 11.08 pagi dengan temani oleh peguam Zamri Idrus dan bapanya, Azlan Mohd Lazim (foto bawah) .

mohd saiful bukhari azlan 2 at jawi 271108 Mohd Saiful tiba dengan memakai songkok dan berkot hitam, berkemeja putih dan berseluar hitam.

Mohd Saiful dan Zamri kemudiannya masuk ke unit siasatan bahagian penguatkuasa JAWI, manakala bapanya menunggu di luar.

Sebelum masuk, Zamri yang ditemui pemberita enggan menjawab dan sekadar berkata, beliau akan mengulaskannya kemudian.

Apabila ditemui selepas Mohd Saiful selesai bertemu JAWI, Zamri menjawab ringkas: "Ada sedikit perbincangan dengan pihak JAWI,"

Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lalu.

Manakala pada 9 Julai lalu, Anwar telah mengadukan isu laporan polis Saiful, kepada unit siasatan, bahagian penguatkuasaan JAWI, mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf (kesalahan bawah jenayah syariah bagi tuduhan palsu).

Penasihat PKR itu dilaporkan sebelum ini sebagai berkata, atas nasihat ulama dan peguam, beliau telah membuat aduan tersebut bagi membersihkan namanya dan keluarganya daripada fitnah jahat dan mengaibkan itu.

Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan."

Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS