Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kempen bagi jawatan ketua Wanita Umno semakin rancak dengan penyokong Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mempertahankan kewibawaan calon masing-masing.

Ketua Penerangan Wanita Umno, Seripah Noli Syed Hussin berkata pergerakan itu memerlukan ketua yang tegas dan lantang kerana penjawatnya juga menjadi pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN).

rafidah and shahrizat wanita umno 211108 Oleh itu, katanya, Rafidah amat sesuai dengan terus menyandang jawatan ketua Wanita Umno kerana beliau tegas dan lantang dalam isu-isu yang membabitkan pergerakan tersebut.

"Kerana kepimpinan Tan Sri Rafidah, Wanita Umno dan BN mencapai kejayaan demi kejayaan sepanjang lebih 20 tahun lalu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, ketua Wanita Umno perlu mempunyai sikap yang tegas termasuk dalam memperjuangkan isu yang membabitkan parti.

"Adakah Datuk Seri Shahrizat mempunyai kualiti kepimpinan seperti Tan Sri Rafidah, memandangkan sikapnya yang lemah lembut dan tidak tegas," katanya yang juga ketua Wanita Umno Selangor.

Seripah Noli juga berkata, sikap Shahrizat yang pendiam mungkin menyukarkan beliau untuk berkomukasi bukan sahaja dengan pemimpin Wanita Umno tetapi juga Wanita BN.

Beliau mendakwa, Shahrizat merupakan seorang yang tidak mahu bercakap dalam mesyuarat exco Wanita walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian.

"Kita suruh beliau bercakap tetapi dia tidak mahu bercakap. Kita beri ruang seluas-luasnya kepadanya untuk bercakap tetapi beliau tetap tidak mahu," tambah Seripah Noli.

'Tidak boleh terlalu agresif'

Bagaimanapun, seorang lagi exco Wanita, Datuk Hazizah Mohd Sultan pula mempertahankan Shahrizat.

Menurutnya, Shahrizat tidak boleh menunjukkan sifat keras dan lantang kerana kedudukannya hanya sebagai seorang naib ketua Wanita.

Beliau yang juga ketua Wanita Umno Melaka berkata, jika Shahrizat menunjukkan sikap yang lantang sekarang, ia dikhuatiri membuat Rafidah tidak senang.

"Jika Datuk Seri Shahrizat sudah menjadi ketua Wanita, sudah tentu beliau menjadi seperti Rafidah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin Wanita tidak boleh bersikap terlalu lantang dan agresif kerana kerana ia boleh menimbulkan kebencian orang ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS