Dua exco Wanita Umno menyangkal dakwaan Tan Sri Rafidah Aziz bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak pernah membantah pelan peralihan kuasa pergerakan itu pada bulan Jun 2009.
Sebaliknya, tegas mereka, Shahrizat yang juga naib ketua pergerakan itu secara terbuka meminta Rafidah mempercepatkan pelan peralihan itu kepada bulan Mac depan.
Sabtu lalu, Rafidah memberitahu media bahawa Shahrizat tidak pernah bercakap di dalam mesyuarat exco Wanita membantah pelan peralihan kuasa tersebut.
Menurut mereka lagi, Shahrizat telah membangkit perkara itu dalam mesyuarat exco Wanita pada di ibunegara pada 10 November lalu.
Ini dinyatakan oleh Raja Ropiaah Abdullah yang juga ketua Wanita Petaling Jaya Utara dan Rosni Zahari yang juga ketua Wanita bahagian Maran, Pahang ketika dihubungi hari ini.
Raja Ropiaah berkata, Shahrizat pernah membantah peralihan kuasa pada bulan Jun 2009 dan mahu ianya dipercepatkan kepada bulan Mac dalam mesyuarat exco tersebut.
Bagaimanapun katanya, Rafidah menolak perkara tersebut dan sebaliknya meminta pelan peralihan Jun 2009 dikekalkan.
'Rafidah tidak bincang'
"Dalam mesyuarat tersebut, Rafidah bertanyakan Shahrizat mengapa beliau membuat kenyataan dalam media sehari sebelum mesyuarat tersebut diadakan, meminta peralihan dipercepatkan ke bulan Mac.
"Shahrizat berkata ini adalah kehendak akar umbi dan ia dibuktikan daripada jumlah pencalonan jawatan ketua Wanita yang diperolehinya," katanya.
Selepas 191 bahagian selesai bermesyuarat, Rafidah mendapat 118 pencalonan untuk mempertahankan jawatan ketua Wanita, manakala Shahrizat pula mendapat 73 pencalonan bagi jawatan tersebut.
"Tetapi Rafidah dan exco lain tidak setuju dan kita dipaksa menerimanya. Ini mungkin kerana cara Shahrizat yang lemah lembut dan tidak pandai bersuara lantang," kata Raja Ropiaah lagi.
Beliau juga mendakwa, Rafidah tidak pernah membincangkan isu peralihan kuasa dengan exco pergerakan itu.
Sebaliknya, kata beliau, Rafidah terus mengumumkannya di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam majlis wanita bersama pemimpin di PWTC pada 4 Ogos lalu.
"Kami amat terkejut dengan pengumuman tersebut tetapi tidak dapat berbuat apa-apa sebagai menghormati majlis yang turut dihadiri perdana menteri.
'Hampir 10 exco bantah'
"Tetapi selepas majlis tersebut, ada beberapa exco dan pemimpin Wanita yang lain menimbulkan perasaan tidak setuju mengenai pengumuman Rafidah," katanya lagi.
Seorang lagi exco, Rosni Zahari pula berkata, dalam mesyuarat exco Wanita terakhir itu, Rafidah menegaskan beliau tidak akan berganjak daripada pelan peralihan kuasa yang ditetapkan sebelumnya iaitu bulan Jun depan.
Rafidah, katanya, telah meminta Shahrizat supaya menerima tarikh tersebut tetapi Shahrizat mahu berbincang dengan seorang lagi calon naib ketua, Wanita Datuk Kamilia Ibrahim terlebih dahulu.
Bagaimanapun, menurut Rosni lagi, Rafidah tidak membenarkannya dan meminta Shahrizat menerima pelan asal tersebut.
"Ramai exco kata adalah tidak adil untuk menekan Shahrizat supaya menerima pelan tersebut.
"Setelah dibuat undian dengan angkat tangan, hampir 10 orang exco mengatakan tidak setuju pelan peralihan kekal pada bulan Jun 2009.
Pergerakan tersebut mempunyai 25 exco, termasuk 14 ketua Wanita Negeri.
"(Mereka) yang tidak mengangkat tangan itu termasuk dua ketua Wanita negeri," katanya.