Rakaman video perhimpunan nyalaan lilin pada 9 November di Petaling Jaya yang dirampas polis, kini didapati telah diubah sewaktu dalam jagaan pihak berwajib itu.
Rakaman itu dan kamera video Malaysiakini dirampas di hujung perhimpunan tersebut, yang diadakan sebagai membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sambutan ulang tahun perhimpunan menuntut pilihanraya bebas dan adil anjuran Bersih.
Seramai 23 orang - termasuk ahli-ahli politik dan juruvideo Malaysiakini , Shukri Mohammad - ditahan dalam insiden tersebut.
Beliau kemudiannya dibebaskan dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis Petaling Jaya, Isnin depan.
Polis memulangkan rakaman tersebut bersama kamera itu kepada Malaysiakini Selasa lepas.
Selepas semakan rakaman 36 minit tersebut, sejumlah tiga minit dan 42 saat gambar daripada perhimpunan tersebut "telah hilang" di dua bahagian.
Potongan pertama berlaku pada masa rakaman di minit ke-10 dan 54 saat, sewaktu Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mengarahkan peserta perhimpunan tersebut bersurai, yang digantikan dengan satu rakaman baru.
Rakaman baru itu kedengaran dibuat oleh seorang penumpang dari sebuah kenderaan polis.
Rakaman yang diubah terjadi pada minit ke-14 dan 40 saat, apabila gambar sekumpulan anggota polis pencegah rusuhan, digantikan dengan rakaman kira-kira enam saat sebuah almari pakaian.
Kandungan rakaman yang "hilang" setakat ini, tidak dapat dipastikan.
Shukri (foto) semalam membuat satu aduan polis di balai Jalan Travers berhubung isu pengubahan rakaman video tersebut kerana ia mungkin akan digunakan di mahkamah jika ada pertuduhan di mahkamah.
"Kami tidak menuduh polis mengubah bahan bukti kerana ada kemungkinan rakaman tersebut terpadam secara tidak sengaja sewaktu dalam jagaan polis," kata ketua pengarang Malaysiakini , Steven Gan.
"Bagaimanapun, polis sewajarnya menjaga bahan-bahan itu yang bakal dijadikan bukti dengan berhati-hati dan tidak bermain-main dengan kamera kami."