Penyertaan golongan muda dalam menentukan halatuju di lima buah negeri pimpinan Pakatan Rakyat dijangka diperdebatkan dalam kongres Angkatan Muda PKR (AMK) pada hujung bulan ini.
"Golongan muda harus diberi lebih peluang menentukan halajatuju, (kerana) sekarang kita sudah mentadbir negeri," kata timbalan ketua peneranga AMK, Syamsul Hidayat Mohd Shariff.
Mengulas lanjut, beliau berkata, harus disediakan lebih banyak ruang dan peluang berdialog dengan kerajaan negeri.
Ditanya sama ada AMK bermaksud meminta kerajaan Pakatan memberikan kedudukan tertentu dalam kerajaan negeri pimpinan mereka, beliau berkata:
"Tidak semestinya kedudukan. Kita hendak ubah dasar (kerajaan dahulu), daripada (pengurusan sumber) pasir sampai pembangunan belia; kerana segala dasar yang diputuskan nanti, akan digerakkan oleh Pemuda Pakatan."
Dihubungi Malaysiakini , beliau yang baru dilantik sebagai timbalan ketua penerangan AMK berkata, ucapan ketua mereka Shamsul Iskandar Md Akin dijangka menyarankan beberapa "pendekatan bekerja" setelah beroleh kemenangan besar dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
"Setelah menang di lima negeri, rakyat mendapat harapan baru. Kalau dulu kita beri harapan, sekarang kita hendak bekerja," katanya.
Ahli AMK
Sehubungan itu, tambah Syamsul, AMK akan memfokuskan usaha melahirkan kumpulan kepimpinan pelapis di samping wakil rakyat muda yang telah sedia berkhidmat.
Kongres AMK dijadual diadakan di Stadium Melawati 28 November ini, sehari sebelum Kongres Nasional Tahunan PKR yang akan berlangsung di tempat yang sama.
Membawa tema 'Memimpin Harapan Rakyat', kongres AMK itu dijangka dihadiri kira-kira 900 perwakilan dari seluruh negara. Kongres ini berlangsung serentak dengan kongres Wanita parti itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Fariz Musa pula berkata, pergerakan itu akan membawa usul supaya wanita muda PKR yang bawah umur 35 tahun, secara automatik dikira sebagai ahli AMK.
Cadangan itu, tegas beliau, bertujuan untuk menjadikan sayap utama PKR itu lebih berkesan.
Bagaimanapun, katanya lagi, penerimaan usul itu bergantung kepada perwakilan dan mesti diperdebatkan dulu kerana ianya melibatkan pindaan perlembagaan parti..
Beliau juga berkata, kongres AMK kali ini juga akan melihat tugas besar PKR mendampingi dua juta pengundi baru yang belum berdaftar dan terdiri daripada anak muda.
Dalam tempoh setahun selepas perhimpunan tahunan terbesar parti itu, Fariz berkata, golongan itu akan cuba didekati "supaya pilihanraya akan datang tidak menjadi masalah".
Secara bergurau, beliau berkata, "mood kongres AMK kali ini lain sikit sebab tidak ada pemilihan".