Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kuota rumah: MCA bidas k'jaan PAS Kedah
Diterbitkan:  Nov 19, 2008 1:11 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

MCA hari ini membidas tindakan kerajaan PAS di Kedah yang masih berkeras mahu meneruskan dasar baru 50 peratus kuota perumahan bumiputera mulai 1 September lalu.

Pengerusi Biro Maklumat dan Komunikasi MCA, Lee Wei Kiat berkata, kerajaan negeri tidak memperdulikan bantahan dan rayuan pelbagai pihak, termasuk pihak pemaju dan ahli-ahli politik, berhubung pelaksanaan peraturan baru itu.

"Para pemaju perumahan di negeri itu akan mengalami kerugian besar jika kerajaan negeri meneruskan peraturan baru itu," kata Lee dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan itu, tambahnya, menjejaskan minat para pemaju untuk melabur dan melaksanakan projek perumahan baru di negeri itu.

Kataya, masalah itu timbul ekoran pemaju tidak dibenarkan menjual unit yang diperuntukkan kepada bumiputera, yang tidak terjual, walaupun selepas tempoh enam bulan.

"Wujud kebimbangan bahawa unit-unit kosong yang tidak terjual itu, akan rosak akibat perbuatan vandalisme, mengakibatkan harganya akan merosot," tambah Lee.

Dasar itu juga, katanya, akan mendorong pemaju menaikkan harga unit untuk bukan bumiputera bagi menampung diskaun harga kepada pembeli bumiputera, bagi mengelak kerugian apabila unit untuk bumiputera, tidak terjual.

"Dalam gambaran yang lebih besar, jika pemaju tidak melaksanakan projek perumahan baru, maka banyak industri lain yang turut terjejas seperti simen, pasir, besi, pengangkutan, cat dan sebagainya

"Ketika dunia berdepan dengan kemelesetan, langkah yang diambil oleh PAS itu hanya akan menambah beban rakyat Malaysia, dengan menimbulkan kebimbangan, mengurangkan peluang pekerjaan dan kehilangan pendapatan," tegasnya.

Lee turut membidas kerajaan Pakatan Rakyat kerana isu dasar kuota bumiputera itu dan mendakwa gabungan itu bertindak bercanggah dengan dasar pilihanrayanya.

Daripada memansuhkan dasar-dasar perlindungan secara berperingkat, beliau mendakwa, Pakatan telah menaikkan kuota tersebut.

ADS