Empat negeri - Perlis, Kedah, Selangor dan Kelantan - menyokong peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009 manakala Melaka menggesa agar peralihan kuasa dipercepatkan.
Semalam media melaporkan Wanita Sabah dan Negeri Sembilan turut menggesa peralihan kuasa dipercepatkan.
Bahagian Wanita di empat negeri tersebut adalah antara yang terbanyak mencalonkan gandingan Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mempertahankan jawatan ketua dan naib ketua.
Ketua Wanita Umno Perlis, Datuk Mastika Junaidah Husin menjelaskan Wanita negeri itu sebulat suara menyokong peralihan jawatan dikekalkan pada Jun depan.
"Kami menyokong persetujuan peralihan jawatan (Jun 2009) tersebut sejajar dengan kaedah yang hampir sama dilaksanakan oleh presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Ia adalah satu kebijaksanaan untuk elak perpecahan dan mengukuhkan perpaduan dan integriti Wanita serta meneruskan kesinambungan pemimpin yang membawa wanita Melayu dengan penuh sopan dan berbudaya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bagaimanapun, katanya, Shahrizat harus berdepan dengan Datuk Kamilia Ibrahim yang tetap dengan pendiriannya untuk bertanding naib ketua.
‘Shahrizat harus yakin'
"Datuk Seri Shahrizat harus yakin untuk bertanding dan menyerahkan kepada akar umbi untuk menentukan keputusan," jelas Mastika.
Sehubungan itu juga beliau mendakwa tindakan Shahrizat untuk mempercepatkan peralihan jawatan, adalah satu yang tidak adil.
"Cadangan itu dibuat selepas pencalonan bahagian selesai. Banyak pihak dalam exco dan di luar melihat keputusan itu tidak adil, bagi sesetengah pihak yang akur dengan peralihan jawatan," katanya.
Beliau menjelaskan, ini kerana terdapat akar-akar umbi daripada bahagian-bahagian yang mencalonkan Rafidah sebagai ketua wanita.
"Mereka akan menuntut suara akar umbi mereka. Mereka mungkin menyalahkan orang lain jika mereka tahu peralihan jawatan ini tidak berlaku sebagaimana yang dirancang.
"Dalam hal ini Tan Sri Rafidah juga harus memenuhi hasrat akar umbi yang memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin Wanita Umno Malaysia," tambahnya.
Menurut Mastika lagi, ketiga-tiga bahagian di Perlis mencalonkan Rafidah sebagai Ketua dan Shahrizat sebagai naib ketua.
‘Demi perpaduan parti'
Sementara itu, Ketua Wanita Umno Kedah, Salmah Md Isa berkata, Wanita negeri itu menerima keputusan awal yang dibuat oleh exco pergerakan Wanita pusat iaitu menerima pelan peralihan kuasa yang ditetapkan pada Jun 2009 dan tiada pertandingan bagi jawatan ketua dan naib ketua Mac depan.
Katanya pendirian itu dibuat demi menjaga perpaduan dan mengelak perpecahan di kalangan Wanita Umno.
Beliau juga Wanita Umno agar tidak menyamakan peralihan kuasa di peringkat pucuk pimpinan parti dengan Wanita.
Ini kerana, kata Salmah, peralihan kuasa antara Presiden Umno, Datuk Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah melibatkan pentadbiran negara dan parti secara keseluruhannya.
"Jadi kenapa mudah melatah? Jangan mudah melatah bila ada orang jolok dari bawah," katanya sambil menambah bahawa ada beberapa pemimpin Wanita negeri yang ingin mempercepatkan peralihan kuasa.
Isnin lalu, Rafidah memgumumkan keputusan mesyuarat exco Wanita yang mengekalkan pelan peralihan kuasa pada Jun 2009 dan mengumumkan jawatan ketua dan naib ketua tidak akan dipertandingkan.
Kelmarin, Kamilia mengumumkan pendiriannya untuk tetap bertanding jawatan naib ketua Wanita. Ini bermakna beliau akan berdepan dengan penyandangnya Shahrizat.
Gandingan Rafidah-Shahrizat
Ditanya mengapa Rafidah mahu pelan peralihan kuasa pada Jun depan di mana Shahrizat akan memangku jawatan ketua, Salmah berkata:
"Beliau ada sebab-sebab tertentu. Dia (Rafidah) nak mengemaskini kedudukan parti khususnya Wanita, yang kalah dalam pilihanraya," katanya.
Beliau juga menjelaskan, kira-kira 10 daripada 15 Wanita bahagian di Kedah mencalonkan gandingan Rafidah-Shahrizat.
Katanya, empat bahagian lagi - Sungai Petani, Jerlun, Kulim Bandar Baharu dan Kubang Pasu - tidak mencalonkan Rafidah menerajui semula pergerakan itu, manakala bahagian Pokok Sena belum bermesyuarat.
Di Selangor pula, ketua Wanitanya, Datin Paduka Hajah Seripah Noli Syed Hussin, menyifatkan isu peralihan kuasa itu umpama "rumah sudah siap, pahat masih berbunyi."
"Tindakan itu (mempercepatkan peralihan kuasa) tidak bijak dan mengeruhkan lagi keadaan. Wanita adalah satu-satu sayap Umno yang paling stabil," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau menyifatkan hasrat Shahrizat untuk mempercepatkan peralihan adalah sesuatu yang tidak adil kerana niatnya itu dibuat selepas mesyuarat bahagian.
"Kenapa tak cakap sebelum pencalonan (bahagian) bermula? Kalau betul ikhlas dan jujur dalam perjuangan, mesti ada pengorbanan dan meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri," kata Seripah Noli.
‘Shahrizat jadi penentu'
Beliau menjelaskan 16 daripada 22 bahagian di Selangor mencalonkan gandingan Rafidah-Shahrizat..
"Tolong hargai perpaduan dan elakkan perpecahan, dia (Shahrizat) adalah penentu," tambah Seripah Noli.
Di Kelantan pula, semua 14 bahagian di Kelantan turut menyokong peralihan kuasa kekal pada Jun 2009.
Ketua Wanita negeri itu, Senator Wan Hazani Wan Mohd Nor berkata, peralihan kuasa pada bulan Mac atau Jun adalah sama sahaja iaitu Shahrizat tetap akan memegang jawatan ketua walaupun sebagai pemangku.
"Dalam perlembagaan Umno, beliau tetap menjalankan tugas sebagai ketua Wanita Malaysia," kata Wan Hazani
Tambahnya, kekecohan yang berlaku ini disebabkan hal tersebut tidak diketahui oleh ahli-ahli Umno.
Katanya, keputusan Rafidah mengekalkan peralihan kuasa pada Jun depan adalah untuk memboleh beliau menjejalah ke seluruh negara untuk memantapkan perpaduan dan memperkasakan Wanita.
Rafidah diminta berlembut
Ketua Wanita Umno Melaka, Datuk Hazizah Mohd Sultan pula menjelaskan Wanita negeri itu bersetuju dengan peralihan kuasa antara Rafidah dan Shahrizat tetapi mahu ia dipercepatkan pada bulan Mac.
"Kami mahukan wanita ini menjadi sebuah pergerakan yang cukup lengkap, iaitu ada ketua dan naibnya.
"Bagi saya, jawatan pemangku tidak sama bidang kuasanya dengan jawatan ketua," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tambahnya, tujuan utama peralihan kuasa adalah untuk mengelakkan perpecahan dalam Wanita dan mengelakkan sebarang pertandingan.
Oleh yang demikian, beliau berharap Rafidah menimbang semula tentang peralihan kuasa yang dicadangkan itu.
"Beliau perlu mendengar hasrat akar umbi dan berlembut, selesai masalah. Jika tidak akan timbul lagi banyak masalah," katanya.
Menurut Hazizah lagi, tiga bahagian di Melaka telah mencalonkan gandingan Rafidah-Shahrizat manakala tiga bahagian lagi mencalonkan Shahrizat-Kamilia sebagai ketua dan naib ketua.