Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPIM sokong saranan Rahman Yaakub
Diterbitkan:  Nov 13, 2008 4:59 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh saranan bekas Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Yaakub supaya pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa Melayu, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara.

"Bantahan yang dibuat oleh bekas menteri pelajaran itu terhadap pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, harus diberi perhatian serius oleh semua pihak," kata Setiausaha Agung PKPIM, Khairul Anwar Shazali.

"PKPIM sejak dari awal pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, telah menyuarakan bantahan terhadap pendekatan tersebut.

"Dan sehingga kini PKPIM tetap tegas dengan pendirian bahawa pengajaran Sains dan Matematik harus dikembalikan kepada bahasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul berkata, PKPIM bersetuju dengan kenyataan Abdul Rahman bahawa dasar pengajaran dalam bahasa Melayu yang telah dimulakan sejak tahun 1970, telah berjaya melahirkan ramai pakar dalam bidang sains dan matematik.

"Malah, tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan sesetengah pihak bahawa kononnya pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu akan menyebabkan para pelajar di negara ini sukar bersaing di peringkat tertinggi.

Ketepikan kepentingan peribadi

"Justeru, PKPIM sekali lagi mengulang desakan agar pengajaran Sains dan Matematik dikembalikan semula kepada bahasa Melayu," tegas Khairul.

Katanya, PKPIM yakin dan percaya bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, akan lebih membantu para pelajar di negara ini, untuk menguasai kedua-dua matapelajaran itu dengan lebih baik.

"Dalam masa yang sama, PKPIM juga tidak menolak kepentingan mempelajari bahasa asing seperti bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun, penguasaan bahasa asing tersebut haruslah dibuat dengan memperkasakan kaedah pembelajaran bahasa itu sendiri, dan bukannya dengan mengorbankan subjek Sains dan Matematik sehingga ditukar bahasa pengantarnya," tegasnya.

Dalam hal ini, kata Khairul, PKPIM menyeru agar pihak yang berkaitan supaya meletakkan kepentingan umat dan masyarakat di negara ini, melebihi kepentingan peribadi dan keuntungan politik.

"Pandangan dan saranan dari pakar-pakar yang benar-benar bertauliah dan layak untuk membicarakan tentang soal pendidikan, bahasa dan budaya, harus diterimapakai dalam menentukan dasar-dasar yang penting di negara ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS