Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendakwa dibenar analisis semula CPU Raja Petra
Diterbitkan:  Nov 12, 2008 5:02 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi saksi mereka mengekstrak dan menganalisis semula dokumen yang belum dibuka di dalam unit pemprosesan komputer (CPU) dan komputer riba milik Raja Petra Raja Kamaruddin.

Keputusan itu disampaikan oleh Majistret Ho Kwang Chin yang menyebut bagi Hakim Rozina Ayob yang bercuti sakit pada hari ini.

Ho berkata mahkamah membenarkan saksi pihak pendakwaan, ASP Waie Isqal Kria Abdullah dari Unit Siasatan Forensik Komputer Bukit Aman, mengekstrak dan menganalisis semula dokumen yang masih belum dibuka.

Mahkamah turut membenarkan kehadiran peguam tertuduh dan pihak pendakwa untuk melihat proses itu yang akan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau di mahkamah, menurut dilaporkan Bernama.

raja petra kamaruddin Raja Petra, 58, pengendali dan penulis blog Malaysia Today, dituduh menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" itu diterbitkan dalam www.malaysia-today.net pada 25 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ho kemudian menetapkan perbicaraan disambung selama tiga hari bermula 16 Disember depan.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, memohon kepada mahkamah untuk Waie melakukan proses tersebut bagi mendapatkan maklumat berhubung beberapa dokumen yang belum dibuka dan dibaca ketika penganalisaan kali pertama dibuat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS