Dua komando polis, Cif Insp Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, perlu menunggu sehingga 15 Januari tahun depan untuk membela diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Ini kerana peguam bela masing-masing, Datuk Hazman Ahmad dan Kamarul Hisham Kamaruddin, tidak dapat menghubungi dan menemu bual saksi yang mereka rancang untuk dipanggil memberikan keterangan.
Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan permohonan mereka dan memberi tempoh dua bulan untuk mereka membuat persediaan kes, demikian dilaporkan oleh Bernama
"Saya hendak kes ini dibicarakan berterusan bermula 15 Januari sehingga selesai," katanya.
Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas(UTK), dijadual membela diri hari ini terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam 19 Oktober 2006 dan 1 pagi keesokkan harinya.
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam keesokan harinya, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 31 Oktober tanpa dipanggil membela diri.
Dalam permohonannya hari ini, Hazman berkata beliau tidak dapat memutuskan untuk memanggil siapa untuk memberikan keterangan kerana beliau tidak dapat menemu bual mereka kerana sesetengah daripada mereka tidak berada di Kuala Lumpur.
Katanya beliau juga memohon diberikan masa untuk menyelesaikan semua kes yang dikendalikannya dari 2003 hingga 2006 yang masih menunggu perbicaraan, yang telah ditangguhkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes Altantuya, kerana hakim yang mendengar kes berkenaan semakin hilang sabar dan tidak membenarkan penangguhan.
"Pendakwaan telah mengambil satu tahun setengah untuk pendakwaan kes ini. Kami juga perlu diberikan ruang dan masa untuk menyediakan pembelaan," katanya. Kamarul Hisham juga memohon diberikan lebih banyak masa untuk menghubungi Raja Petra Raja Kamaruddin dan penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang beliau bercadang untuk panggil sebagai saksi.
"Saya telah menulis surat kepada peguambelanya pada 21 Oktober, tetapi tiada jawapan dari peguam yang mewakili Raja Petra. Kami juga telah menghantar pesanan kepada peguamnya dan firma guaman mereka, kami masih belum menerima jawapan," katanya.
Raja Petra, yang baru-baru ini dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dengan pembunuhan itu.
Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.
Kamarul Hisham berkata beliau dimaklumkan oleh pihak pendakwaan yang pegawai penyiasat Tonny Anak Lunggan tidak dapat mengesan lokasi di mana Balasubramaniam berada dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Tun Majid, sementara itu berkata beliau tiada bantahan dengan penangguhan itu tetapi memaklumkan kepada mahkamah yang beliau akan mengemukakan bantahan mengikut 136 Akta Keterangan berhubung dengan hasrat pihak pembelaan untuk memanggil semula beberapa saksi pendakwaan termasuk Balasubramaniam.
Di luar mahkamah, Hazman memberitahu wakil media yang beliau merancang untuk memanggil sembilan saksi termasuk seorang pakar telekomunikasi dan teman wanita Azilah.
Kamarul Hisham, ketika ditanya mengenai kerelevanan akuan bersumpah Raja Petra itu, berkata beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi buat masa ini.
"Kita perlu tunggu kerana akuan bersumpah Raja Petra jelas membayangkan
yang beliau mempunyai sumber dan sehingga dan kecuali saya telah menemu bualnya, saya tidak tahu siapakan sumber itu, dan sama ada beliau bersedia mendedahkan
mereka."
Katanya beliau juga perlu mengesahkan sama ada Raja Petra bersedia untuk ditemu bual, jika tidak beliau perlu mencari jalan untuk sapina penulis blog itu.