Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz supaya mempertimbangkan untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa jawatan tertinggi sayap itu supaya selaras dengan pemilihan parti peringkat pusat Mac depan.
Beliau berkata permohonan itu dibuat berdasarkan perkembangan Umno masa kini.
"Saya masih menghormati pelan peralihan jawatan yang diumumkan Tan Sri(Rafidah) pada 4 Ogos kepada saya untuk jawatan ketua Wanita Umno Malaysia.
"Saya memohon kebijaksanaan serta kerjasama Tan Sri mempertimbangkan tarikh peralihan jawatan itu diselaraskan seiring sejalan dengan Umno induk, Pemuda, Puteri pada Mac 2009 sempena perhimpunan Agung Umno iaitu tiga bulan lebih awal daripada bulan Jun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Bernama, Shahrizat berkata semasa Rafidah mengumumkan pelan peralihan jawatan itu Ogos lepas, Perhimpunan Agung Umno dijadualkan berlangsung pada Disember ini.
Manakala tarikh peralihan kuasa antara Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu dijadualkan pada 2010.
Bagaimanapun perhimpunan agung Umno ditangguhkan sehingga Mac depan, manakala tarikh peralihan kuasa antara perdana menteri dan timbalan perdana menteri juga dipercepatkan.
"Tan Sri (Rafidah) mengumumkan pelan peralihan jawatan itu untuk menentukan peralihan kuasa antara presiden dan naib presiden berjalan lancar tanpa diganggu gugat ketidakstabilan Wanita jika ada pertandingan bagi jawatan ketua dan naib ketua Wanita," katanya.
Sehingga hari ini Rafidah memperoleh 116 pencalonan untuk jawatan ketua Wanita, manakala Shahrizat mendapat 73 pencalonan. Bagi jawatan naib ketua pula Shahrizat menerima 113 pencalonan.
"Berdasarkan kepada pencalonan terkini dan jika ada permuafakatan antara semua yang terlibat, maka hasrat Tan Sri supaya tiada pertandingan untuk jawatan ketua dan naib ketua Wanita mungkin dapat dicapai," katanya.
Esok Wanita Umno akan mengadakan mesyuarat exconya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).