Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap penyokong tiga calon timbalan presiden akan bersatu dan kembali bekerjasama selepas pemilihan pucuk pimpinan parti itu selesai pada Mac depan.
Katanya, pertandingan dalam parti itu telah mewujudkan tiga kumpulan penyokong dan ia boleh menyebabkan perpecahan.
Bagaimanapun, Bernama melaporkan perdana menteri berharap ia bersifat sementara dan penyokong mereka kembali bersatu selepas pemilihan itu nanti.
"Itu adalah kehendak ahli Umno dan ini bermakna ketiga-tiga calon itu perlu bertanding," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kepala Batas hari ini.
Tiga calon yang layak bertanding jawatan timbalan presiden parti ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Mengenai politik wang yang semakin berleluasa di dalam parti, terutamanya dalam tempoh pemilihan, Abdullah gembira dengan kesedaran dan kesediaan ahli Umno untuk tampil membuat aduan berhubung perkara itu.
Katanya, jika kerjasama seperti itu berterusan, ia memberi petanda baik terhadap usaha menghapuskan kegiatan itu.
"Jika ahli Umno masih berharap mendapatkan wang untuk undi yang diberikan, maka politik wang akan terus berkembang dan tidak akan berhenti," katanya.
Selain itu, katanya, peningkatan jumlah aduan yang diterima oleh Lembaga Disiplin parti sehingga melebihi 900 aduan setakat ini menunjukkan bahawa lembaga itu telah menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan.
Peningkatan jumlah aduan juga menunjukkan bahawa gejala politik wang sudah menjadi semakin teruk ketika ini berbanding masa lalu dan berharap ia dapat dihentikan, katanya.