Dianggarkan 10,000 orang diperdaya oleh sindiket penipuan tanah yang memperalatkan nama manusia terkaya Bill Gates dan spekulator mata wang George Soros sejak dua tahun lalu.
Sebuah syarikat yang berpangkalan di Tawau melantik ketua dan ejen-ejen di setiap negeri untuk mempengaruhi pemilik tanah agar terlibat dalam kerjasama projek pembangunan dengan dua tokoh jutawan dari Amerika Syarikat itu.
Gates dan Soros dikatakan telah menyediakan sejumlah dana awal USD20 juta (RM71 juta).
Mereka akan dipujuk untuk menyertai seminar dengan bayaran RM50 atau RM100 seorang oleh ketua dan ejen terbabit, sebahagian mereka orang-orang berpengaruh.
Seminar itu, sebelum mereka diperdaya agar membuka akaun bank, disampaikan oleh dua ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Menurut Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash), kerugian akibat penipuan itu dipercayai bernilai berjuta-juta ringgit wang pemilik tanah, ejen dan ketua rangkaian syarikat tersebut.
Setiausaha agungnya Hashima Hasbullah Yahya bagaimanapun enggan mengumumkan nama syarikat atau dalang di sebalik kegiatan ini.
"Biar polis menjalankan tugas mereka dan mengumumkan siasatan mereka.
"Kami mengetahui perkara ini setelah sembilan mangsa penipuan itu membuat laporan polis terhadap syarikat terbabit," katanya.