Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sia-sia sahaja melaporkan politik wang kepada lembaga disiplin Umno kerana ia tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT), kata seorang pegawai calon presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz menambah, beberapa rakannya telah membuat laporan kepada lembaga disiplin mengenai politik wang tetapi tiada maklum balas yang diterima mengenainya.

kamal amir "Semua orang bercakap mengenai politik wang... Kita difahamkan ada kira-kira 800 laporan serupa telah dibuat kepada lembaga disiplin Umno.

"Tetapi kita tahu lembaga disiplin Umno bukannya sebuah badan bebas, jadi tidak perlu membuat laporan kepadanya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, pihaknya dengan kerjasama cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara sedang mengumpul bukti mengenai politik wang.

Katanya, sebaik sahaja laporan tersebut diperolehi, ia akan diadukan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk tindakan lanjut.

"Jika Umno berani, ia perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat politik wang dalam parti.

"Suruhanjaya ini juga yang sepatutnya yang menyelia mesyuarat Umno di seluruh negara," katanya ketika diminta mengulas sama ada akan membawa isu sogokan seperti dakwaannya kepada lembaga itu yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Kamal Amir kelmarin mendakwa Tengku Razaleigh gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada para perwakilan.

Beliau mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan.

"Ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.

"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS