Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selama dua jam ekoran bantahan oleh wakil-wakil pembangkang terhadap angka-angka tambahan kepada Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak semalam.
Kira-kira jam 12.30 tengahari, Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menangguhkan sidang sehingga jam 2.30 petang selepas pembangkang enggan membenarkan pakej rangsangan bernilai RM7 bilion dibincangkan di peringkat jawatankuasa.
Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Wan Junaidi bahawa mengikut Seksyen 66 (15) Perintah Tetap, dewan mesti dimaklumkan dua hari sebelum pembentangan sebarang pindaan kepada Rang Undang-undang Perbekalan.
Menurutnya, usul mengenainya juga mesti diedarkan kepada semua ahli Parlimen.