Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib jadi PM ketika negara berdepan dengan krisis
Diterbitkan:  Nov 3, 2008 4:24 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih kepimpinan Umno dan negara ketika ekonomi sedang berdepan dengan kekalutan kewangan dunia.

"Beliau akan menjadi perdana menteri ketika masa yang sukar, sewaktu keadaan ekonomi bukan di tahap terbaik. Beliau akan terpaksa memikul beban harapan rakyat," kata pensyarah Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohammad Agus Yusoff.

najib and malaysia and people Semalam, Najib yang juga timbalan presiden Umno, menang tanpa bertanding jawatan presiden parti itu, dan sekaligus akan dilantik sebagai perdana menteri Mac depan.

Mohammad Agus berkata, kemenangan Najib itu telah dijangka selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka memilih Najib sebagai penggantinya.

"Beliau menerima sokongan yang kuat kerana tidak ada lagi calon lain yang lebih sesuai dalam Umno dan tidak seorang pun yang berani mencalonkan orang lain, lebih-lebih apabila beliau dipilih oleh Abdullah sendiri," katanya.

Abdullah, yang berdepan dengan tekanan supaya melepaskan jawatan ekoran prestasi buruk Umno dan BN dalam pilihanraya umum lalu, berkata beliau akan menyerahkan kuasa kepada timbalannya itu di perhimpunan agung Umno Mac depan.

Najib memperolehi pencalonan dari 141 bahagian Umno yang telah selesai bermesyuarat sehingga ini dan sekaligus menang tanpa bertanding. Bahagian Gua Musang telah mencalonkan ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Baki 50 lagi bahagian Umno akan mengadakan mesyuarat masing-masing hujung minggu ini.

Sementara itu, pengarah eksekutif Merdeka Research Centre, Ibrahim Suffian berkata, sokongan besar kepada Najib menunjukkan ahli-ahli Umno menyokong pelan peralihan kuasa.

Apa yang menarik untuk dilihat, tambahnya, ialah bagaimana prestasi Najib dan setakat mana beliau mampu melaksanakan pembaharuan yang dituntut pengundi dan pada yang sama, memenuhi tuntutan dari ahli-ahli partinya sendiri.

Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu. Walaupun kembali berkuasa tetapi BN gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di Parlimen serta kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada Pakatan Rakyat.

ADS