Naib Presiden Gerakan Dr S Vijayaratnam ditemui mati di luar kliniknya di Seremban pagi ini. Mendiang berusia 58 tahun.
Menurut laporan, mendiang jatuh dari bumbung bangunan tiga tingkat miliknya, yang dikenali sebagai 'Vijay Mahal' di Jalan Tengku Hassan pada kira-kira jam 11.30 pagi.
Menurut Bernama, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata, Vijayaratnam datang ke kliniknya seperti biasa dan mengambil kunci untuk naik ke tingkat atas bangunan.
"Kata pembantu klinik itu, majikannya memberi alasan ada orang hendak menyewa tingkat teratas di bangunan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Sejurus kemudian, mayat Vijayaratnam ditemui dengan kesan kecederaan parah di kepala dan seluruh badan, katanya.
"Setakat ini siasatan awal menolak penglibatan pihak ketiga atau ada unsur bunuh diri. Kita letakkan kes itu di bawah 'sudden death' (kematian mengejut)," katanya.
Beliau berkata terdapat orang yang melihat kejadian itu dan polis akan mendapatkan keterangan daripadanya.
Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk bedah siasat.
Ditanya mengenai khabar angin bahawa Vijayaratnam terjun dari bangunan tersebut, Osman berkata, polis tidak menemui sebarang nota pada badan mangsa atau di tempat kejadian.
Vijayaratnam meninggalkan seorang balu, Anucia Tharumaratnam dan dua orang anak lelaki.
Dalam satu kenyataan kemudiannya, Gerakan berkata, Vijayaratnam diserang sakit jantung dan sumber-sumber parti itu menafikan khabar angin ada unsur-unsur jenayah terbabit.
"Vijayaratnam meninggal dunia pagi ini kerana sakit jantung. Ia satu berita yang menyedihkan bagi Gerakan, Barisan Nasional dan kepada negara," kata kenyataan tersebut.
"Beliau adalah seorang pemimpin yang dihormati ramai dan menjadi teladan kepada golongan muda di dalam dan di luar Gerakan. Semoga Tuhan mencucuri rahmat dan memberi kekuatan kepada keluarga mendiang," tambahnya.
Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon terkejut dan sedih dengan pemergian Vijayaratnam itu.
"Kita kehilangan seorang rakan seperjuangan yang komited dan seorang kawan karib," katanya dalam satu kenyataan.
Sambil menyifatkan Vijayaratnam sebagai seorang pemimpin Gerakan yang setia dan berdedikasi, Koh berkata: "Kita memberi penghormatan kepada seorang rakyat Malaysia sebenar. Vijayaratnam sering menyumbang tulisannya kepada media mengenai ideologi dan pendirian parti tentang pelbagai isu-isu nasional,"
Vijayaratnam - seorang doktor di Seremban - merupakan pemimpin bukan Cina tertinggi dalam parti Gerakan.
Beliau dilantik sebagai senator pada 2002 dan berkhidmat selama satu penggal sebagai setiausaha parlimen Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komiditi.
Dalam pemilihan parti bulan lalu, beliau berjaya mengekalkan jawatan naib presiden bagi penggal kedua.
Vijayaratnam mendapat 678 undi – kedua tertinggi selepas bekas ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong (1,153 undi) dan bekas ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Huan Cheng Guan (568).
Manakala calon Melayu bagi jawatan tersebut, Dr Asharuddin Ahmad memperolehi 537 undi di tempat keempat.
Menurut pemerhati, mendiang mampu mengekalkan jawatannya kerana beliau dilihat sebagai 'orang presiden'.
Vijayaratnam adalah pengerusi biro hal ehwal antarabangsa dan hubungan kaum parti itu serta menjadi ketua Gerakan cawangan Sungai Ujong, Negeri Sembilan. Berita asal
Sementara, menurut Bernama, bapanya, mendiang Dr S Seevaratnam, pernah menjadi ahli Parlimen Seremban Barat dari 1969 hingga 1974 dan bekas bendahari kebangsaan DAP.
Bapa saudara beliau, mendiang S Rajaratnam, pula pernah menjadi Menteri Luar Singapura dari 1966 hingga pertengahan 1980-an.
Vijayaratnam mula menceburi arena politik pada 1981, sama dengan tahun beliau membuka klinik sendiri, setelah berkhidmat dengan kerajaan selama lapan tahun.
Walaupun mencipta nama sebagai tokoh yang disegani dalam arena politik Malaysia, beliau terus memberi khidmat sebagai doktor di kliniknya yang terletak di Jalan Tunku Hassan, Seremban.
Vijayaratnam mendapat didikan peringkat sekolah rendah dan menengah di St
Paul's Institution. Beliau memperoleh ijazah MBBS dari University of Agra, India.
Beliau juga pernah menganggotai Majlis Perundingan Ekonomi Malaysia Kedua (Mapen II).
Vijayaratnam menyertai Gerakan sebagai ahli biasa sebelum dipilih sebagai ahli jawatankuasa pusat parti itu pada 1993 dan seterusnya diberi kepercayaan menyandang jawatan naib presiden sejak 1999.
Jawatan lain yang pernah beliau sandang ialah naib presiden Persatuan Kriket Negeri Sembilan (1987-1989) dan Setiausaha Persatuan Perubatan Malaysia cawangan Seremban pada 1996.
Sebagai menghargai khidmat bakti beliau, Vijayaratnam dianugerahi bintang kebesaran Dato Setia Negeri Sembilan (DSNS), yang membawa gelaran Datuk oleh kerajaan Negeri Sembilan pada 2000.
Beliau juga adalah penerima anugerah zamalah kehormat The Royal Society of Health , London, zamalah kehormat Indian College of General Practitioners pada 1999 dan zamalah kehormat Fakulti Perubatan Pekerjaan, The Royal College of Physicians Ireland pada 2007.