Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puteri Marang bantah exco dipecat kerana tanding ketua

Puteri Umno Marang menyifatkan hasrat Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said untuk menggugurkan ketua bahagian tersebut, Yahya Khatib Mohamad dari jawatan exco kerajaan negeri, kerana bertanding dalam pemilihan bahagian itu Sabtu lalu, sebagai tidak wajar.

Dalam pemilihan tersebut, Yahya yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa Umno bahagian, berjaya menewaskan penyandang jawatan ketua bahagian, Datuk Abdul Rahman Bakar dengan majoriti 198 undi.

Berikutan itu, Ahmad dilaporkan berkata, Yahya akan digugurkan dari jawatan exco kerana mengingkari nasihat beliau supaya tidak menentang ketua bahagian sedia ada.

Menurut menteri besar yang juga pengerusi Umno negeri, selain Yahya, dua lagi exco akan digugurkan dalam rombakan exco yang akan dilakukan pertengahan bulan depan atas sebab yang sama.

Mengulas lanjut mengenainya, ketua Puteri Marang, Marina Endut berkata, pergerakan itu akan menyokong Yahya dalam isu tersebut.

"Kemungkinan Yahya digugurkan dari jawatan exco negeri, telah menjadi buat buah mulut orang ramai di Marang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Ramai yang marah dengan tindakan menteri besar hendak menggugurkan exco itu semata-mata kerana beliau bertanding jawatan ketua Umno bahagian Marang.

"Yahya bertanding menentang penyandang Datuk Abdul Rahman Bakar atas kehendak ahli-ahli Umno di Marang sendiri.

Keputusan akur umbi

"Sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad perlu menerima keputusan akar umbi," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Puteri Umno Marang akan berdiri teguh dan menyokong Yahya dalam menghadapi isu tersebut.

"Mungkin Datuk Abdul Rahman tidak boleh menerima kekalahannya sehingga berlakunya keaadan ini (Yahya akan digugurkan dari exco kerajaan negeri)," kata Marina lagi.

Marina berkata, jawatankuasa Umno bahagian Marang belum mengadakan mesyuarat mengenai isu tersebut kerana tidak mahu mengambil tindakan secara terburu-buru.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan tindakan untuk menggugurkan Yahya semata-mata menentang ketua bahagian sebagai tidak wajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS