Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harga minyak turun lagi esok?
Diterbitkan:  Oct 30, 2008 5:18 PM
Dikemaskini: 12:08 PM

Mesyuarat kabinet esok akan membincangkan sama ada akan menurunkan harga minyak buat kali keempat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Katanya, sebarang penurunan harga minyak akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jika mendapat persetujuan jemaah menteri.

"Perkara ini perlu dibincang terlebih dahulu dan keputusan ini perlu melibatkan empat menteri iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Menteri Kewangan II (Tan Sri Nor Mohamed Yakcop) dan saya.

"Jadi saya tidak tahu apa keputusannya. Memang kerajaan berhasrat menurunkan harga minyak. Tetapi ia (umum) mungkin esok, lusa atau dua minggu lagi," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Menurut Bernama, pada 15 Oktober lalu kerajaan menurunkan harga minyak petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter manakala harga petrol RON92 diturunkan 10 sen kepada RM2.20 seliter. Harga minyak diesel pula diturunkan 20 sen kepada RM2.20.

Pada 4 Jun lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

Mengenai andaian bahawa harga minyak akan turun mulai esok, Shahrir berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

ADS