Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa bahagian yang mencalonkan ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan langkah mengadakan debat terbuka antara calon-calon ketua Pemuda Umno boleh membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

mukhriz mahathir gaza fund 010208 serious Selain Mukhriz, ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo turut mendapat pencalonan mencukupi untuk bertanding jawatan tersebut.

Sebaliknya, mereka mencadangkan diadakan majlis penerangan di mana ketiga-tiga calon tersebut dijemput untuk memberi penjelasan mengenai visi dan misi mereka jika terpilih menerajui pergerakan tersebut.

Pemuda Padang Serai, Kedah, Ismadi Abu Talib menyifat debat terbuka antara calon-calon ketua Pemuda, akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Ketuanya, Ismadi Abu Talib berkata beliau tidak bersetuju kerana debat tersebut kurang sesuai untuk diadakan.

Sepatutnya, kata beliau, rekod pencapaian calon-calon tersebut, mampu menjadi kayu pengukur untuk 764 perwakilan Pemuda untuk membuat pilihan.

Setiap bahagian Pemuda menghantar empat perwakilan. Setakat ini, Mukhriz mendapat 70 pencalonan, Khairy Jamaluddin (48) manakala Dr Mohd Khir (47).

Beliau juga bimbang perdebatan terbuka seperti yang dicadangkan itu, boleh mengakibatkan timbul perbalahan sesama ahli Pemuda.

Rekod pencapaian

"Ia tak sesuai kerana kita seperti adik beradik. Ia tidak wajar kerana kita (debat) nak cerita keburukan orang lain," katanya lagi.

Di samping itu, kata Ismadi lagi, kepetahan berdebat tidak semestinya menjadi syarat menjadi ketua pemuda.

umno youth 2009 leaders khir toyo khairy jamaluddin and mukhriz mahathir Sebaliknya, tegas beliau, rekod pencapaian, misi dan visi yang ingin dibawa, juga harus diambil kira.

Beliau bersetuju dengan pandangan bahawa perdebatan itu boleh membuka ruang untuk pembangkang mengambil kesempatan dan memanipulasi keadaan.

"Ya, saya setuju 100 peratus. Mereka akan mengambil kesempatan, tidak boleh dinafikan. Yang penting, kita sifarkan kesilapan kita," tegas Ismadi ketika dihubungi Malaysiakini.

Ismadi yang memenangi jawatan ketua pemuda bahagian dua minggu lalu, berkata ketiga-tiga calon ketua Pemuda itu, mempunyai rekod pencapaian yang baik dalam parti.

"Sukar untuk membuat pilihan. Mereka kena memilih ketua yang terbaik daripada yang terbaik," jelas Ismadi lagi.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar ketiga-tiga calon itu turun bertemu ahli pemuda di peringkat akar umbi.

'Nilai misi dan visi'

"Dari situ, kita cari kesilapan dan memperbetul kelemahan kita (Pemuda). Pemuda juga boleh menilai misi dan visi mereka," katanya.

Manakala ketua Pemuda Umno Alor Star, Zubir Zabidi pula tidak nampak sebarang relevan untuk mengadakan debat terbuka antara calon ketua Pemuda.

Ini kerana hal demikian akan membawa kepada perbalahan di kalangan ahli, "membuka pekung di dada" dan berlaku tuduh menuduh antara satu dengan lain.

"Apa yang penting ialah mereka harus memikirkan cara dan strategi untuk menguatkan parti.

"Golongan muda sudah hilang kepercayaan kepada Umno, jadi pulihkan keyakinan Pemuda agar mereka menyokong kerajaan," kata Zubir ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau yang berjaya mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Pemuda bahagian baru-baru ini berkata, itu sepatutnya menjadi fokus calon ketua Pemuda.

Debat tertutup

Sehubungan itu, beliau juga mencadangkan kepada calon ketua pemuda supaya masing-masing turun menemui ke akar umbi bagi menjelaskan visi dan misi mereka secara tertutup.

"Cerita hala tuju perjuangan mereka tapi bukan dalam perdebatan terbuka," tambahnya.

Zubir berkata, pertemuan tersebut hendaklah dihadiri oleh para perwakilan, termasuk ketua pemuda bahagian untuk membincangkannya secara ilmiah.

Sementara itu, ketua Pemuda Kuala Kedah, Shafiq Rahman Shamsuddin menyarankan supaya debat calon ketua Pemuda itu diadakan secara tertutup.

Katanya, jika diadakan secara terbuka, kerana bimbang pihak pembangkang akan mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi kelemahan Umno.

"Adakan secara tertutup untuk ahli sahaja dan jangan terkeluar (apa yang dibincangkan) kepada pembangkang," katanya.

Beliau berkata, perdebatan yang sihat dan teratur dapat membantu memperbaiki kelemahan Pemuda dan parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS