Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

kemaskini 9:07pm Cadangan agar kerajaan menarik balik syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam sejenis "tekanan politik MCA ke atas Umno ekoran kelemahan pentadbiran kerajaan pada masa ini," kata Pemuda PAS.

"Dengan jumlah kerusi (BN) yang ada, Umno tidak berupaya berdiri sendiri sebagai kerajaan dan ini membuka ruang kepada parti-parti perkauman dalam komponen BN untuk menggunakan kuasa tawar-menawar mereka bagi menuntut hak-hak yang telah diperakui sebagai hak orang Melayu untuk kaum mereka," kata Salahuddin Ayub, mengulas cadangan naib presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai kelmarin.

Desakan parti-parti komponen BN semakin lantang menekan Umno, tambah ahli parlimen Kubang Kerian, setelah Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada BN bulan lepas.

"Sebelum ini MIC menuntut pelbagai hak untuk India, UPKO pula mendesak supaya hak bebas keluar daripada Islam, manakala Gerakan mendakwa orang Melayu bukan bangsa asal di negara ini.

"Dan kini, MCA sebagai parti utama orang Cina, iaitu bangsa yang menguasai perniagaan di negara ini mahu ekuiti ekonomi Bumiputera dihapuskan," tambahnya.

"Tindakan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan kestabilan kerajaan selain mencetuskan api perkauman.

"Mereka mahu mendapatkan semula sokongan orang Cina yang telah beralih kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu.

"Senjata yang paling baik ialah membangkit hak orang Cina dalam bidang ekonomi."

Sementara itu, sambil menyokong gesaan Liow, calon presiden MCA yang tewas Datuk Chua Jui Meng pula menyarankan kerajaan lebih serius menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti disuarakan oleh timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Mohd Najib Razak dilaporkan bersedia menggantikan unsur-unsur dasar itu secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan timbalan perdana menteri itu yang ingin menghapuskan dasar tersebut secara berperingkat-peringkat.

Bekas naib presiden MCA itu mencadangkan Mohd Najib merangka agenda khusus dan jadual untuk menamatkan DEB.

Chua menggesa pemimpin Umno itu menjadi ”juara seluruh rakyat Malaysia” apabila memegang jawatan perdana menteri tahun depan seperti pelan peralihan kuasa Umno.

Manakala Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan agar tidak terburu-buru mengubah sebarang dasar yang berkait dengan kedudukan ekonomi bumiputera.

"Dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera merupakan salah satu instrumen penting DEB yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum di negara ini," kata presidennya Yusri Mohamad.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Liow itu bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi.

"Adalah tidak munasabah dasar pemilikan ekuiti ini dihapuskan secara terburu-buru tanpa mengambil kira kesan menyeluruh tindakan itu terhadap kedudukan ekonomi bumiputera.

"Dasar sepenting ini tidak wajar diubah semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik sesetengah pihak," tambahnya.

Oleh itu, kata Yusri lagi, kerajaan digesa melakukan kajian terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum mengubah teras DEB.

ADS