Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Tertinggi (MT) tidak wajar mempersoalkan kedudukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri walaupun beliau tidak lagi menjadi presiden Umno selepas bulan Disember ini, kata ahlinya Datuk Abdul Rahman Bakar.

Bekas ketua Umno bahagian Marang itu berkata, Abdullah belum lagi menyerahkan jawatan tersebut kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Katanya, bulan lepas MT setuju sebulat suara agar Abdullah menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib pada Mac tahun depan.

"Ini bermakna Abdullah masih lagi perdana menteri walaupun bukan lagi seorang presiden Umno.

"Dan begitu juga dengan Najib, walaupun menjadi presiden Umno tetapi bukan perdana menteri," katanya.

Beliau mengulas mengenai mesyuarat MT pada Jumaat ini yang dijangka menetapkan supaya perhimpunan agung dan pemilihan Umno dipercepatkan kembali pada Disember ini – seperti rancangan asal.

Pada 25 September lalu, MT menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan parti sebagai sebahagian rancangan mempercepatkan peralihan kuasa Abdullah, asalnya dijadual pertengahan 2010.

Abdul Rahman berkata, andaian bahawa Abdullah tidak boleh menjalankan tugas dengan baik kerana beliau bukan lagi menjadi presiden Umno “tidak timbul langsung”.

Pada masa sama, bekas timbalan menteri sumber manusia itu berkata, tidak wajar mana-mana ahli MT mempertikaikan pelan peralihan kuasa tersebut.

"Ini kerana ia bukan keputusan Abdullah seorang tetapi merupakan keputusan yang dibuat sebulat suara oleh MT.

"Jika terus bercakap dan mempersoalkan perkara tersebut, maka masalah dalam parti tidak akan ada jalan penyelesaiannya," katanya.

Seorang ketua bahagian Umno Pokok Sena berkata, Abdullah terus berkuasa sebagai perdana menteri selepas perhimpunan agung Umno bulan Disember sehingga bulan Mac.

Datuk Ahmad Lebai Sudin ketika dihubungi berkata, ia tidak menimbulkan masalah kerana tempoh peralihan Abdullah kepada Najib hanya tiga bulan sahaja.

"Ia tidak menimbulkan masalah kerana kedua-duanya merupakan pemimpin Umno dan mereka berdua telah bersetuju menyerahkan kuasa secara tersusun.

"Abdullah juga boleh mengambil cuti selama tiga bulan dan menyerahkan tugas perdana menteri kepada Najib," katanya, sambil menambah beliau tidak menjangka akan berlaku sebarang masalah dalam parti selepas bulan Disember ini.

Sebaliknya, katanya, masalah akan berlaku jika Abdullah tidak mahu menyerahkan kuasa sebagai perdana menteri kepada Najib seperti yang telah dipersetujui.

Sementara seorang lagi anggota MT, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, tidak ada agenda khusus yang dibincangkan dalam mesyuarat MT minggu ini.

Tetapi, menurutnya, spekulasi yang sedang diperkatakan sekarang ialah mempercepatkan perhimpunan agung umno ke Disember ini.

"Biasanya apa yang menjadi isu yang membabitkan parti akan dibincangkan oleh MT, bagaimanapun ahli boleh menimbulkan sebarang pertanyaan atau isu tetapi ia tidak semestinya dibincangkan," katanya.

Minggu lepas, Najib yang juga timbalan presiden Umno dilaporkan berkata, tarikh sahih perhimpunan dan pemilihan akan terjawab pada mesyuarat MT.

Naib presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelumnya dilaporkan berkata, tempoh kempen selama empat bulan, selepas mesyuarat bahagian bulan depan hingga Mac, "terlalu panjang" dan menjejaskan produktiviti calon terutama yang memegang portfolio dalam kerajaan.

ADS