P Vwaishhnnavi, anak saudara tahanan ISA, P Uthayakumar, 6, dan ibunya, K Shanti telah dibebaskan hari ini selepas semalaman di balai polis Putrajaya.
Dua beranak itu bersama 10 orang lagi, ditahan semalam apabila mereka mahu menyerahkan surat kepada pejabat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, merayu supaya dibebaskan tahanan ISA.
Kedua-duanya dibebaskan lewat malam tadi tetapi mereka enggan meninggalkan balai polis tersebut dan tinggal di situ bersama yang lainnya.
Baki 10 orang lagi dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang pagi ini di mana pihak polis memohon untuk mendapatkan perintah reman selama dua minggu untuk siasatan.
Bagaimanapun, majistret hanya membenarkan mereka direman selama tiga hari selepas prosiding disambung selepas waktu rihat tengahari tadi.
Ini bermakna mereka akan dapat merayakan sambutan Deepavali dengan keluarga masing-masing Isnin ini.
Kawalan keselamatan di kompleks mahkamah adalah ketat di mana terdapat enam trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta sebuah trak meriam air.
Kira-kira 50 penyokong dan anggota keluarga mereka yang ditahan turut berada di mahkamah.
Para wartawan pula dilarang masuk ke kompleks mahkamah untuk membuat liputan.
Pihak polis menunjukkan dokumen yang ditandatangani oleh majistret Kajang, Nurdiana Mohd Nazari yang menyatakan hanya peguam yang mewakili mereka yang ditahan dan keluarga mereka dibenarkan masuk ke mahkamah.
Peguam Amer Hamzah Arshad dari Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam, yang mengetahui pasukan enam orang peguam yang mewakili 10 yang ditahan tersebut, berhujah berhubung prosiding reman tersebut.
Pada jam 1.15 tengahari, sidang mahkamah ditangguhkan kerana waktu rihat tengahari. Pada jam 2.30 petang, majistret mengumumkan keputusan membenarkan mereka ditahan reman selama tiga hari.
Vwaishhnnavi adalah anak perempuan pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy yang kini tinggal di London.
Polis: Vwaishhnnavi tidak ditahan
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman memberitahu Malaysiakini semalam bahawa lapan lelaki dan tiga wanita ditahan dalam insiden tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Vwaishhnnavi tidak ditahan dan berada berada ibunya.
Menurut polis, mereka yang ditahan itu sedang disiasat di bawah Akta Pertubuhan ekoran tindakan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan Hindraf pada 15 Oktober lalu.
Penyelaras Badan Pemantau Polis, S Jayathas, yang turut ditahan, mendakwa diberitahu bahawa mereka merupakan sebahagian daripada perhimpunan haram kerana berkumpul dekat pintu masuk bangunan tersebut.
"Kami cuba mendapatkan kebenaran daripada pengawal keselamatan untuk membolehkan Vwaishhnnavi menyerahkan suratnya. Mereka berkata, kami dari Hindraf, tetapi kami bertegas bahawa kami adalah 'kumpulan prihatin kaum India' yang menemani Vwaishnnavi," kata Jayathas semalam.