Masyarakat India yang cintakan keamanan, tidak mempunyai sebarang masalah dengan tindakan kerajaan mengharamkan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
"Saya rasa mendapat sokongan daripada masyarakat India yang cintakan keamanan," katanya dalam temubual dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya Selasa lalu.
"(Pengharaman) itu bukannya terhadap kaum India atau agama Hindu. Kami tidak ada sebarang masalah dengan kaum India atau dengan agama Hindu.
"Masyarakat India dan penganut agama Hindu selama ini memberi kerjasama baik kepada kita," katanya ketika ditanya mengenai keputusannya menghadapkan Hindraf minggu lalu.
"Ia adalah kumpulan ektremis. Ia memperjuangkan dan mencetuskan kebencian terhadap kumpulan tertentu dalam masyarakat," katanya menjelaskan justifikasi tindakan pengharaman tersebut diambil.
"Kita selama ini hidup dalam aman dan kita tidak pernah ada masalah tetapi apabila anda membangkitkan kebencian dan ( memberitahu
mereka bahawa) satu-satunya musuh adalah orang Melayuu atau satu-satu musuh adalah Islam...
"Jika anda membaca ucapan-ucapan mereka (dalam) 338 demonstrasi (yang diadakan), ia (menunjukkan) bagaimana kita telah banyak bersabar sebelum kita mengambil sebarang tindakan," kata Syed Hamid.
Beliau juga menjelaskan bagaimana pihak kementeriannya boleh mengambil tindakan terhadap Hindraf ekoran pengharaman tersebut, walaupun pergerakan itu tidak pernah didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.
Menurut Syed Hamid, walaupun Hindraf bukan badan berdaftar, tetapi ia beroperasi seperti sebuah pertubuhan yang didaftar.
"Kita mendapat alamat mereka dan pemegang jawatan (dalam Hindraf) - itulah bagaimana kita boleh kuatkuasakan. Dan aktiviti mereka kini tidak sah lagi," katanya.
Tiada kaitan pemilihan Umno
Syed Hamid juga menafikan bahawa pengharaman itu itu diambil ekoran tindakan Hindraf menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri pada 1 Oktober lalu di mana mereka menyuarakan antahan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau juga menafikan bahawa keputusannya untuk mengharamkan Hindraf adalah untuk meningkatkan popularitinya dalam usahanya bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno Mac depan.
"Saya masih belum mendapatkan pencalonan yang mencukupi. Jika ianya kerana Umno...sayalah menjadi orang pertama layak bertanding.
"Untuk makluman anda, semua menteri dalam negeri tidak mengambil pendekatan populariti. Kita tidak pernah popular tetapi kita umpama lilin - membakar diri sendiri untuk melindungi masyarakat."
Untuk layak bertanding jawatan naib presiden, Syed Hamid memerlukan kelayakan minima 20 pencalonan dari bahagian Umno. Sehingga ini beliau mendapat 13 pencalonan.
Pada 15 Oktober lalu, Syed Hamid mengumumkan pengharaman Hindraf setelah berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak.
Hindraf menjadi tumpuan umum tahun lalu selepas memperjuangkan isu-isu membabitkan perobohan kuil di negara ini.
November lalu, ia menganjurkan perhimpunan yang dihadiri oleh 30,000 orang di Kuala Lumpur untuk membantah peminggiran masyarakat India di Malaysia.
Sebulan kemudiannya, lima pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA, yang membenarkan mereka ditahan tanpa bicara.
Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang kini tinggal di London, mengambil alih usaha menyelaraskan aktiviti pergerakan itu selepas ia diharamkan. Berita asal
Esok: ISA mengikut Syed Hamid
Semalam: Syed Hamid tegur mereka yang mahu pemilihan awal