Wartawan Berita Harian tidak dibenar membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas akhbar itu tidak menyiarkan ralat berhubung laporan yang didakwa tidak tepat mengenai titah Sultan Kelantan.
Speaker Dewan Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau sudah membaca akhbar tersebut hari ini dan mendapati tiada ralat disiarkan berhubung laporannya semalam yang bertajuk 'Sultan murka kerajaan PAS gagal tadbir Kelantan'.
"Mengikut Perkara 14 Peraturan Dewan saya mengambil keputusan agar wartawan akhbar itu tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang dewan bersidang," katanya di sidang DUN yang ketiga (Belanjawan) di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.
Semalam, Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) mendesak supaya Berita Harian memohon maaf dan wartawannya ditegah membuat liputan sidang DUN ekoran tajuk muka depan akhbar itu yang dianggapnya mencemarkan imej kerajaan dan Sultan Kelantan.
Syor Zainuddin itu disokong beberapa anggota PAS yang lain, sehingga memaksa Mohd Nassuruddin menenangkan keadaan dan memberi tempoh kepada akhbar itu untuk meminta maaf dalam siarannya esok, atau tindakan sewajarnya akan diambil.
Ekoran kenyataan Mohd Nassuruddin hari ini, wartawan harian itu Khairul Anuar Abdul Samad diarahkan oleh pihak keselamatan pejabat kerajaan negeri agar meninggalkan kawasan bangunan itu.
Ketika ditemui Bernama di luar sidang dewan, Khairul berkata beliau menerima keputusan itu, namun tidak berpuas hati dengan keputusan melarang wartawan akhbar berkenaan membuat liputan sepanjang dewan bersidang.
"Selama ini kami membuat liputan mengenai perkara yang perlu dihebahkan oleh kerajaan negeri, dan kami juga melaporkan maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat.
"Keputusan ini (larangan membuat liputan persidangan) sebenarnya merugikan kerajaan negeri sendiri," katanya.
Katanya beliau tiba untuk membuat liputan sidang dewan pada jam 9 pagi dan pihak keselamatan meminta beliau agar tidak berada di dalam bangunan kerajaan negeri mengikut arahan Speaker Dewan.