Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Unit khas tangani isu tiada kad pengenalan
Diterbitkan:  Oct 21, 2008 2:07 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Satu unit khas ditubuhkan bagi memastikan permohonan tertunggak untuk mendapatkan kerakyatan dan taraf penduduk tetap diselesaikan dengan berkesan dan cepat, kata menteri dalam negeri.

Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen diarahkan membentuk unit itu baru-baru ini untuk memberikan tumpuan utama pada permohonan tertunggak.

"Jadi saya harap isu itu tidak terus dipolitikkan kerana harus diingat bahawa permohonan bukan boleh diluluskan dengan sewenang- wenangnya ia perlu mengikut peraturan dan lunas undang-undang.

"Permohonan juga perlu diteliti bagi mengelak wujudnya kes-kes pemalsuan yang menggunakan pendekatan tipu helah," katanya, lapor Bernama , selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Langkah itu juga, tambah Syed Hamid, bertujuan mengelak dokumen kelahiran, kad pengenalan dan pasport yang dikeluarkan di negara ini disalahgunakan.

Beliau berkata, laporan Interpol mendapati jumlah kes membabitkan penyalahgunaan dokumen Malaysia di luar negara amat tinggi.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan jumlah sebenar dan nama negara yang terbabit.

Menurut agensi berita itu lagi, mengulas warga asing yang sudah menetap lama di negara ini tetapi permohonan kerakyatan masih tidak diluluskan, Syed Hamid berkata untuk mendapatkan kerakyatan bukan perkara automatik, ia adalah keistimewaan.

"Walaupun pemohon sudah menetap 20 hingga 30 tahun di negara ini kita mesti lihat dari segi kesetiaan dan sumbangan pemohon kepada negara sebelum memberikannya taraf penduduk tetap.

"Ini kerana ada warga asing yang datang ke negara ini menggunakan pas lawatan kerja kemudian hilangkan dokumen, lepas itu mengaku mengatakan penduduk tetap negara ini," beliau dipetik berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS