Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6:50pm Shamsiah Fakeh, seorang tokoh pejuang wanita terkenal yang aktif bersama Parti Komunis Malaya (PKM), menghembuskan nafas terakhir jam 9 pagi ini di kediaman anak lelakinya Jamaluddin Ibrahim di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

shamsiah fakeh funeral 201008 01 Jenazah allahyarham, 84, yang mengalami sakit tua dan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia sejak bulan lepas, dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur jam 5.30 petang.

"Selepas 22 hari berada di hospital, allahyarham sendiri minta pulang ke rumah. Beliau rasa tiba masanya, beliau ingin menghabiskan masa untuk bersama anak-anak dan cucu-cucu," kata Jamaluddin.

Shamsiah dibawa pulang ke rumah anaknya Sabtu lepas dan hanya menghabiskan masa tidur seharian suntuk semalam.

"Pagi tadi, apabila kami kejutkannya, (nyawa) beliau sudah tidak ada. Wajahnya kelihatan tenang," kata anak bongsu itu daripada tiga adik-beradik yang berlainan bapa.

Tambahnya, lebih seratus sanak-saudara dan teman-teman dekat allahyarham pelbagai kaum termasuk timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali (foto tengah) dan penulis kolum Hishamuddin Rais (foto atas) hadir memberikan penghormatan terakhir.

shamsiah fakeh funeral 201008 02 Hujan lebat sewaktu pengebumian petang ini menambahkan rasa kehilangan tokoh wanita itu yang mengalami sakit-sakit sejak 10 tahun lalu.

Menurut memoirnya (foto bawah) , Shamsiah antara pejuang kemerdekaan aliran kiri Melayu yang gigih hingga sanggup meredah belantara Malaya.

Beliau adalah ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) bersama Ahmad Boestamam, ketua API dan juga pengasas Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.

shamsiah fakeh book 191107 memoir Shamsiah menyertai Rejimen ke-10 iaitu sayap Melayu PKM.

Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan.

Selepas terpisah daripada PKM, beliau terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi.

Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termetrainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS