1.06 am Ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menewaskan ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir dengan kelebihan lima undi dalam persaingan sengit untuk pencalonan ketua Pemuda Umno di bahagian Ledang, Johor malam ini.
Khairy, yang juga naib ketua Pemuda Umno, memperolehi 81 undi, manakala Mukhriz, exco pergerakan itu, mendapat 76 undi.
Kemenangan ini menambah jumlah pencalonannya kepada 24 dan beliau memerlukan 15 lagi untuk layak bertanding jawatan utama itu.
Pencalonan untuk jawatan kedua pergerakan dimenangi tanpa sebarang tentangan oleh ahli parlimen Muar, Razali Ibrahim, yang juga ketua Pemuda Johor.
Beliau, yang sudah layak bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno pada pemilihan Mac depan, kini mendapat 41 pencalonan.
12.40 am Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat 15 pencalonan, terbaru dari bahagian Selayang malam ini.
Beliau memerlukan 24 pencalonan untuk meneruskan persaingannya merebut ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti, Mac depan.
Calon naib ketua diberikan kepada Datuk Reezal Merican Naina Merican, menjadikan jumlah pencalonannya 35.
10.40 pm
Khairy Jamaluddin mendapat satu lagi pencalonan sebagai ketua Pemuda Umno dari Putatan, Sabah yang baru mendapat keputusan menjadikan jumlahnya 23.Beliau memerlukan 16 pencalonan lagi.
Sementara calon naib ketua Pemuda, Bahrul Razha Chuprat mendapat satu sokongan di bahagian itu, menjadikannya tiga pencalonan setakat ini di belakang Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Razali Ibrahim.
9.10 pm
Arus sokongan terus memihak kepada ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir apabila menambah dua lagi pencalonan malam ini di bahagian Padang Terap dan Kuala Kedah - menjadikan jumlah meningkatkan kepada 44.Razali Ibrahim, ketua Pemuda Johor, mendapat dua pencalonan di bahagian-bahagian tersebut menjadikannya jumlah 40, setakat ini.
4.10 pm Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan ke-42 hari ini dari bahagian Pendang. Khairy Jamaluddin pula mendapat pencalonan ke-22 dari bahagian Rantau Panjang.
3.55 pm Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat pencalonan ke-14 hari ini dari bahagian Kemaman petang ini.
Bahagian tersebut turut mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican untuk jawatan naib ketua.
Reezal juga mendapat pencalonan dari Rantau Panjang dan Pendang. Beliau kini mendapat 34 pencalonan.
Bagaimanapun, Datuk Mukhriz Mahathir terus mendahului pencalonan jawatan ketua Pemuda Umno apabila mendapat satu pencalonan dari bahagian Merbok semalam.
Berikutan itu, kini pencalonan yang diperolehi oleh exco pergerakan Pemuda Umno itu meningkatkan kepada 41 pencalonan.
Pencabar utamanya, Khairy Jamaluddin juga kini di tempat kedua, turut mendapat dua lagi pencalonan malam tadi - menjadi 22 setakat ini.
Mukhriz pencalonan daripada Pemuda Merbok manakala Khairy dicalonkan oleh bahagian Sekijang dan Rantau Panjang.
Manakala bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo turut mendapat satu lagi pencalonan dari Petaling Jaya Selatan.
Dengan itu, beliau kini memperolehi 13 pencalonan untuk menduduk tempat ketiga.
Seorang lagi calon iaitu timbalan ketua perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin, kekal dengan satu pencalonan.
Bagi jawatan naib ketua Pemuda, ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim mendahului kedudukan dengan mendapat 38 pencalonan.
11 mesyuarat hari ini
Semalam beliau mendapat dua lagi pencalonan dari Pemuda bahagian Merbok dan Sekijang.
Manakala Datuk Reezal Merican Naina Merican pula sebelum ini mendapat pencalonan dari Pemuda Petaling Jaya Selatan dan Pendang.
Empat lagi calon jawatan naib ketua Pemuda Umno ialah Bahrul Razha Chuprat, Faisal Abdullah, Marzuki Yahya dan Megat Firdaus Megat Junid.
Bahrul Razha mendapat dua pencalonan dari Kota Kinabalu dan Sepanggar, Faizal satu pencalonan dari Machang, Marzuki satu pencalonan dari Bagan dan Megat Fidaus satu pencalonan dari Gombak.
Sebanyak 11 bahagian Pemuda akan mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing hari ini.
Bahagian-bahagian berkenaan ialah Kubang Kerian, Kuala Nerus, Kemaman, Kuala Kedah, Pendang, Ledang, Batu Pahat, Sembrong, Putatan, Padang Terap, Tanjong Malim dan Selayang.
Mukhriz dijangka bakal mendapat tambahan pencalonan dari tiga bahagian Pemuda di Kedah iaitu Kuala Kedah, Pendang dan Padang Terap.
Khairy pula dijangka mendapat pencalonan tambahan dari Pemuda Perak iaitu Tanjong Malim, manakala Dr Mohd Khir dari Selayang.