Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib mahu orang Melayu terutamanya di Selangor memberi sokongan padu kepada objektif penubuhan Tabung Azan yang dicetuskan oleh Umno bahagian Cheras, awal minggu ini.
Katanya, penubuhan Tabung Azan itu juga bukan bertujuan politik, sebaliknya bagi mengagungkan laungan azan secara lebih berkesan serta ia merupakan usaha murni dalam membantu masjid dan surau membeli peralatan pembesar suara dan keperluan lain yang berkaitan.
"Mengumandangkan azan adalah adalah satu perkara yang rapat dengan hati umat Islam dan orang Melayu.
"Marilah kita sama-sama memperkasakan perpaduan Melayu dan kedaulatan agama Islam kerana hanya dengan cara itu, Umno dan orang Melayu boleh kukuh dan maju di bawah naungan ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Bernama, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai mengulas kenyataan beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat yang mendakwa kononnya Tabung Azan itu bermotifkan politik.
Beliau berkata tabung itu merupakan usaha murni dalam menentukan surau dan masjid dapat dilengkapi dengan peralatan pembesar suara azan yang lebih baik dan pada masa yang sama membela akhbar Utusan Malaysia yang menghadapi saman RM30 juta oleh Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok kerana akhbar itu merupakan wadah perjuangan orang Melayu di negara ini.
Muhammad berkata kutipan Tabung Azan itu akan dapat digunakan untuk melatih muazzin muda (tukang azan) untuk menjadi pelapis kepada pentadbir surau dan masjid yang ada.
Sehubungan itu, katanya, Umno tidak mahu pembangkang menjadikan kewujudan tabung ini sebagai satu polemik politik yang boleh menjejaskan akidah umat Islam di negara ini.
"Malahan kita ingin bertanya apakah pendidirian PAS dalam mempertahankan kebebasan azan dan kenapa PAS tidak menasihatkan, membidas atau memberi kata dua ke atas rakan mereka anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam isu laungan azan di negeri Selangor," katanya,
Beliau juga menyoal pendirian PAS yang sentiasa mendakwa sebagai parti penjaga Islam tetapi berdiam diri apabila bila laungan azan dipertikaikan.