kemaskini 8:04pm Cerpen 'Politik baru YB J', yang menggambarkan seorang wakil rakyat wanita mati ditembak di atas pentas, disifatkan sebuah "cerpen yang berjaya" sehingga menjadi topik perbahasan di Parlimen, kata budayawan terkenal Dinsman.
"Kita lihat, orang yang tidak pernah bercakap tentang cerpen pun bercakap tentangnya. Daripada aspek ini, saya fikir berjayalah cerpen itu," kata penulis kolum Harakah itu.
Dinsman atau nama sebenarnya Che Shamsudin Othman (kanan) berkata, sesebuah cerpen memang menggambarkan pendirian penulisnya tetapi kebebasan berkarya harus dihormati oleh semua pihak.
"Tidak perlu ambil tindakan selagi ia dalam kategori fiksyen," katanya, yang juga presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi), perkumpulan yang menghimpunkan seniman pro-Gerakan Reformasi.
Mengulas sama ada jalan cerita di penghujung cerpen itu keterlaluan kerana menyarankan pembunuhan, Dinsman berkata, beliau sendiri pernah "membunuh" watak presiden Amerika Syarikat, Goerge W Bush dalam sebuah dramanya 'Tamu dari Medan Perang'.
"Tetapi orang tahu, (pembunuhan) itu tidak boleh berlaku," katanya.
Beliau diminta mengulas karya bekas pengarang kanan Utusan Malaysia yang didakwa berkaitan dengan ahli parlimen DAP Teresa Kok.
Dalam cerpen Datuk Chamil Wariya (kiri) yang terbit di Mingguan Malaysia baru-baru ini, wakil rakyat Cina bernama Josephine dianggap seorang yang anti-Melayu dan anti-Islam pada pandangan parti orang Melayu (POM).
Tokoh utama DAP Lim Kit Siang semalam membidas pengarangnya dan akhbar berkenaan berhubung perkara itu dalam ucapannya di Dewan Rakyat.
"Saya bertanya, apakah reaksi wakil-wakil rakyat Umno dan BN jika perdana menteri atau timbalannya menjadi sasaran seumpama Teresa dalam satu cerpen tidak bertanggungjawab seperti karya Chamil," kata ahli parlimen Ipoh Timur di blognya.
Teresa (kanan) , yang juga anggota exco kanan kerajaan Selangor, enggan mengulas cerpen itu dengan alasan beliau telah menfailkan saman terhadap penerbitnya Utusan Melayu Bhd berhubung laporan yang mendakwa beliau mempertikaikan azan, bulan lepas.
Pemuda DAP akan membuat aduan polis terhadap cerpen ini di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari esok.
Diminta mengulas 'Politik baru YB J', pengarah filem terkenal Amir Muhammad pula menyifatkan karya itu "fasis" dan "kesasteraan yang menyebarkan kebencian".
"Ia amat kasar dan menganggap pembaca bodoh," katanya kepada Malaysiakini .
Pengarah dua dokumentari yang pernah diharamkan Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung bagaimanapun berkata, cerpen yang kasar dan tidak menghormati tingkat intelektual pembaca sudah lama menjadi trend dalam kesasteraan Melayu.
Cerpen sebegini, tambahnya, bukan saja termuat dalam Utusan Malaysia tetapi juga dalam akhbar-akhbar pro-pembangkang.
Diminta mengulas reaksi pihak yang tidak selesa dengan cerpen Chamil itu, Amir (kiri) berkata: "Kalau tidak setuju, boikotlah."
Pengulas isu-isu seni budaya Hasmi Hashim juga bersetuju dengan saranan agar orang ramai memboikot akhbar itu.
"Provokasi terhadap isu-isu perkauman, apa jua tajuknya, tidak boleh diterima," katanya, sambil menambah kebebasan yang diberikan dalam cereka mesti datang dengan tanggungjawab.
"Bukan soal hak menulis, tetapi api perkauman yang keterlaluan. Provokasi, walau apa pun, tidak boleh dipertahankan," katanya, yang juga ketua penerangan PKR Johor.
Mengulas isu kebebasan kreatif dalam cerpen itu, beliau (kanan) berkata:
"(Karya) itu bukan kreatif. Dalam sejarah dunia, daripada (karya) Pramoedya Ananta Toer di Indonesia sampai dunia (sastera) Eropah, tidak pernah kita bertemu karya yang sebegitu jelek."
Cerpen 'Politik baru YB J' mengisahkan perjalanan ahli parlimen Alam Maya, Josephine menghadiri dialog dengan "generasi muda seketurunan dengannya yang yang pernah mempersendakan lagu Negaraku sewaktu menuntut di luar negara".
Dalam perjalanan itu, beliau yang lebih dikenali sebagai YB J kelihatan "resah", "gelisah" dan "seolah-olah tidak menentu" tidak seperti selalu.
Pada masa itu, Josephine dilihat pro-Cina dan tidak mewakili pelbagai kaum, terutamanya oleh POM, antaranya kerana mahu menghapuskan tulisan jawi dan menggantikannya dengan tulisan Cina.
Bagaimanapun, menurut Josephine, beliau sekadar memperjuangkan kepentingannya, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM dan pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa mereka.
Dalam pilihanraya lalu, ahli politik lantang yang mendukung Gagasan Baru Politik Baru turut mendapat sokongan Melayu di kawasannya.
Tiba di tempat yang dituju, ketika menuju ke rostrum, seorang daripada 500 hadirin menghala kepadanya. Tanpa berkata apa-apa, dia mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak YB J.
Anak muda itu mati ditembak balas.
Sewaktu pemeriksaan mayat dibuat, terselit sehelai nota berbunyi:
"YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan."
Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan ulasan Chamil, setakat ini, gagal.