Kerajaan tidak mahu perniagaan diuruskan berdasarkan soal perkauman," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Oleh yang demikian, katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan semua syarikat di sektor swasta supaya memainkan peranan membangunkan vendor tempatan, termasuk vendor bumiputera.
Dengan itu, katanya, syarikat besar bukan milik kerajaan, terutamanya yang memegang lesen dan mendapat kontrak dari kerajaan, patut mengutamakan pembangunan syarikat kecil tempatan, sederhana dan bumiputera.
"GLC (syarikat kaitan kerajaan) juga mempunyai peranan untuk memberi peluang dan mendidik pengusaha, bukan sahaja pengusaha bumiputera tetapi juga pengusaha tempatan bukan bumiputera," katanya.
"Peranan GLC menyokong pembangunan negara, adalah salah satu teras utama program transformasi GLC," katanya ketika menjawab soalan ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Azami Khalid di Dewan Rakyat hari ini.
Najib berkata, ia membawa kepada penerbitan buku merah pada April 2006 sebagai garis panduan dan amalan terbaik perolehan bagi syarikat GLC, termasuk inisiatif membangunkan masyarakat usahawan bumiputera dan tempatan yang kukuh dan berdaya saing.
"Selari dengan garis panduan ini, syarikat GLC telah berperanan memayungi syarikat pengusaha dan pembekal kecil bumiputera melalui pelbagai program seperti program pembangunan vendor bumiputera.
Program tersebut, jelas Najib, diwujudkan khusus untuk meningkat keupayaan dan kemampuan syarikat kecil serta menggalakkan penyertaan usahawan bumiputera di dalam aktiviti ekonomi.
Sebagai contoh, katanya, daripada jumlah keseluruhan perolehan Tenaga Nasional Berhad yang berjumlah RM5.5 bilion bagi 2007, sebanyak 32 peratus atau RM1.8 bilion di anugerahkan kepada vendor bumiputera.
"TNB juga memainkan peranan menjadi payung kepada 250 vendor yang diletakkan di bawah program pembangunan vendor bumiputera.
"Pemantauan ke atas pelaksanaan program buku merah oleh syarikat GLC secara keseluruhannya, pula dibuat melalui jawatankuasa di Putrajaya bagi prestasi tinggi GLC sebagai salah satu elemen utama program transformasi GLC," katanya.
Menurutnya, peranan GLC menyokong agenda pembangunan negara tidak terhad kepada aspek perolehan sahaja.
Sebaliknya, katanya, program transformasi GLC juga memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan warganya sebagai usaha berterusan memperkasakan prestasi GLC.
"Membangunkan tenaga kerja yang berprestasi tinggi dan berdaya asing akan memacu perkembangan ekonomi negara dan pada masa yang sama, dan akan melahirkan pemimpin korporat usahawan masa depan.
"Perkara ini telah terbukti dengan lahirnya komuniti usahawan berjaya yang sekarang ini menyokong operasi syarikat-syarikat seperti Petronas dan Proton," katanya.