Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah berbincang untuk membuka keahlian secara terus bagi mengatasi masalah penyokongnya yang tidak suka kepada parti komponen BN tertentu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang juga pengerusi BN berkata, ini kerana ada parti komponen BN yang dilihat begitu 'perkauman'.

gerakan agm 111008 abdullah shake hand02.jpg Abdullah memberitahu demikian dalam sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung Gerakan di ibunegara hari ini.

"Kita tidak tahu hasilnya, tapi kita mesti cuba melakukannya. Saya tidak boleh kemukakan secara terperinci pada ketika ini, tapi kita mesti melakukannya," katanya.

Menurutnya, konsep keahlian terus ini telah dikemukakan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN minggu lalu.

"Ada baiknya jika kita semua dapat berfikir atas satu platform. Kita mahu menjadi sebuah parti inklusif dan bukannya parti ekslusif.

"Kita mendapat tahu ramai rakyat mahu menyokong BN tetapi mereka tidak suka kepada parti komponen BN," katanya.

Menurutnya, Gerakan juga tidak mencerminkan parti pelbagai kaum walaupun tujuannya untuk menjadi parti pelbagai kaum.

Begitu juga, katanya, dengan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang dilihat majoriti ahlinya dari kaum keturunan India.

"Jika orang tidak tahu sejarah Gerakan, orang akan kata Gerakan sebuah parti kaum keturunan Cina," katanya.

Laksana pembaharuan

gerakan agm 111008 koh tsu koon.jpg Sementara itu dalam ucapan perasmian, Abdullah mengakui beliau tidak dapat melakukan semua pembaharuan seperti yang dijanjikan kepada rakyat dalam pilihanraya umum lalu.

Beliau berkata, beliau dukacita kerana tidak dapat melakukan pembaharuan-pembaharuan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan tetap melaksanakan pembaharuan termasuk memperkukuhkan melawan rasuah.

Perdana menteri berkata, sikap sekadar tunjuk jari dan membuat tuduhan orang lain salah bukan penyelesaian masalah.

"Dalam masalah yang kita hadapi ini, kalau kita mahu pembaharuan, kita sama-sama sedar bahawa ini tugas bersama," katanya.

Persoalannya, kata Abdullah, adakah BN sudah sedia dalam fikiran dan hati untuk melakukan perubahan yang dicadangkan itu.

"Atau hanya manis di bibir sahaja tetapi lain di hati. Ini yang menjadi kebimbangan saya," katanya.

Beliau berkata, pembaharuan yang hendak dilakukan ini bukan mudah kerana pelbagai perkara berlaku.

Katanya, sikap perkauman masih tebal dan sensitivi agama mudah tercuit dan menjadi mudah marah.

"Generasi baru telah muncul dengan aspirasi masing-masing dan oleh kerana itu paca 50 tahun merdeka telah berubah.

"Generasi muda ini membuat pelbagai tuntutan dan kita perlu memberi kebebsan untuk mereka menyuarakan pendapat mengenai politik negara," katanya.

Bagaimanapun, kata Abdullah keterbukaan itu perlu diawasi kerana tanpa tanggungjawab, ia akan membahayakan bangsa di masa depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS