kemaskini 7:35pm Mufti Perak mengakui mengadakan pertemuan empat mata dengan Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mencadangkan penubuhan kerajaan campuran antara Umno dan PAS di negeri itu.
Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, cadangan itu dikemukan bagi mewujudkan pemerintahan yang dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu dan Islam.
“PAS kalau campur dengan Umno lagi bagus. Umno ada 27 kerusi. Kalau campur dengan PAS, seratus peratus orang Melayu-Islam memerintah,” katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan desas-desus di Internet bahawa beliau mengadakan pertemuan kedua untuk tujuan itu.
Mufti berpengalaman itu didakwa "menangis dan merayu" Nik Aziz , yang juga menteri besar Kelantan, untuk memastikan kerajaan campuran PAS-Umno.
Harussani menambah, beliau menemui Nik Aziz dua hari selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu di rumah tokoh PAS di Kota Bharu, Kelantan.
Harussani berkata, dalam pertemuan yang disifatkannya sebagai “sembang-sembang” itu, pandangnnya itu tidak diterima oleh Nik Aziz.
“Nik Aziz kata itu bukan bidang kuasa dia. Beliau kata beliau hanya mursyidul am saja,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
“Dah dia tidak terima, tidak mengapa. Tidak apalah,” katanya.
Diminta mengulas prestasi pemerintahan kerajaan campuran Pakatan Rakyat di negeri itu, beliau berkata "saya bukan orang politik".
Setiausaha politik menteri besar Kelantan, Anual Bakri Haron ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pertemuan Nik Aziz dan mufti tersebut.
Dalam pertemuan itu, tambahnya, Harussani hanya menyatakan kerisauannya jika orang Islam tidak menjadi menteri besar di Perak.
Katanya, Harussani menyuarakan hasratnya supaya PAS dapat menjadi menteri besar di negeri itu.
Sementara itu, pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang berkata beliau turut dihubungi mufti berpengalaman itu untuk tujuan pembentukan kerajaan dengan Umno tetapi beliau menolaknya.
"Ada dua tiga kali beliau menelefon saya. Tetapi saya kata, kita sudah ada keputusan (bersama Pakatan)," katanya.
Katanya, beliau mula-mula menerima panggilan daripada Harussani sehari selepas pertemuannya dengan Nik Aziz.
Harussani juga didakwa turut mencadangkan perkara yang sama kepada pesuruhjaya PAS negeri itu.
Bagaimanapun, Ahmad menolak cadangan itu kerana menurutnya, setelah 50 tahun memerintah, BN yang ditunjangi Umno terbukti “tidak boleh diharapkan”.
“Kita tidak boleh harap pada BN. Kita mahukan kerajaan baru. Lagipun, dalam kerajaan baru ini, PAS yang jadi ketua (menteri besar). Kalau beliau berkata (DAP) anti-Islam, yang Umno ini, sudah 50 tahun...” katanya.
Ahmad dan Anual Bakri tidak pernah mengetahui wujudnya pertemuan kedua Harussani-Nik Aziz seperti dakwaan di beberapa blog sejak semalam.