Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Sri Mohd Isa Samad hari ini secara rasmi menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti Mac depan.

Beliau mengumumkan hasrat tersebut dalam satu sidang media di kelab golf Nilai, Negeri Sembilan pagi tadi.

"Saya menawarkan diri kerana mahu meneruskan khidmat yang tertangguh pada tahun 2004.

"Walaupun saya menang dalam pemilihan tahun tersebut, saya hanya dapat berkhidmat selama setahun setengah sahaja.

"Untuk itu saya mahu meneruskan semula tugas dan khidmat saya kepada parti yang belum dilakukan," katanya.

Isa digantung keahlian selama tiga tahun kerana didapati bersalah terbabit dengan politik wang dalam pemilihan Umno 2004.

Dalam pemilihan tersebut, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mendapat undi terbanyak bagi jawatan naib presiden mengatasi Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Isa berkata, beliau merupakan calon naib presiden yang paling kanan berbanding calon-calon lain.

Mengenai peluangnya, Isa berkata, beliau menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukan kedudukannya.

Selain Isa, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketua menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, timbalan ketua perhubungan Umno Sabah, Datuk Shafie Apdal, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Tan Sri Rahim Thamby Chik turut menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS