Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac tahun depan.
Naib presiden Umno itu mengumumkan keputusan tersebut dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.
"Saya mempunyai peluang yang sangat baik untuk memenangi jawatan tersebut," katanya ketika ditanya wartawan mengenai peluangnya memenangi jawatan tersebut.
Kira-kira 40 penyokongnya termasuk beberapa ketua bahagian hadir memberikan sokongan kepada Muhyiddin.
Mereka termasuk ketua Umno bahagian Kampar, Datuk Mohd Radzi Manan; ketua Umno bahagian Kuala Lipis, Datuk Mohd Soffi Razak, ketua Umno bahagian Maran Datuk Tan Aminuddin dan ketua bahagian Pontian, Datuk Hasni Mohammad.
Sebelum ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno.
Perlu kepimpinan yang teguh
Beliau berkata, keputusan bertanding timbalan presiden Umno itu diambil kira atas kepercayaan bahawa Umno yang akan diterajui oleh bakal presiden yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan barisan kepimpinan yang teguh, bersatu serta sentiasa mednyokong dan membantu beliau, khususnya dalam usaha mengatasi cabaran semasa.
"Yang paling utama ialah usaha membaik pulih, menyatukan parti serta membina arah dan harapan baru agar kita dapat mengembalikan sokongan bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Keduanya saya yakin dapat memainkan peranan bersama dengan bakal presiden dalam usaha meningkatkan kembali perpaduan kaum, mengeratkan hubungan kerjasama antara parti komponen BN dengan mengambilkira kehendak atau situasi masa kini, agar kita lebih mantap dan lebih bersedia bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13," katanya.
Muhyiddin berkata, berdasarkan pengalaman dan pendedahan yang diperolehi di pelbagai peringkat dalam parti, kementerian dan pentadbiran kerajaan membolehkan memainkan peranan lebih berkesan dalam usaha kerajaan khususnya bagi menangani keadaan ekonomi dalaman dan global yang sedang kita hadapi sekarang.
Sehubungan itu, beliau berharap ahli Umno dapat memberikan sokongan padu untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan presiden.
"Saya percaya keputusan ini akan dapat memanfaatkan kerjasama yang lebih utuh di dalam usaha memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan mempertahankan kesucian agama kita.
"Saya ingin memohon kepada semua ahli dari pelbagai peringkat untuk bersama-sama mengambil peluang ini bagi merapatkan barisan demi meneruskan kesinambungan kegemilangan parti," katanya.
Terus beri sumbangan
Dalam sidang media tersebut, Muhyiddin berkata, beliau memberitahu Najib mengenai keputusan bertanding jawatan timbalan presiden tersebut.
"Saya telah bekerja lama dengan baik dengan Najib dan beliau akan meneruskan perubahan dalam parti," katanya.
Muhyiddin juga menegaskan beliau yakin akan mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno.
Malah beliau juga yakin Najib akan mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan presiden Umno Mac ini.
Muhyiddin juga percaya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tokoh veteran Umno akan terus memberi sumbangan kepada parti.
Ditanya sama ada tindakan Nur Jazlan yang turut menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden Umno, Muhyiddin berkata: "Saya tidak fikir sokongan akan berpecah."
Sewaktu ditanya apa perbezaan Muhyiddin dengan calon-calon timbalan presiden Umno lain, Muhyiddin sambil tersenyum berkata:"Saya ialah Muhyiddin Yassin."