Keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno Mac depan akan dapat meneruskan tradisi untuk memastikan Umno terus relevan, kata Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi."
Bagi saya tindakan Abdullah itu akan sedikit sebanyak membantu mewujudkan mood baru dan memulihkan keyakinan rakyat kepada Umno.
"Rakyat masih memerlukan Umno untuk mentadbir negara," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Abdullah itu semalam.
Mohd Puad juga menyifatkan Presiden Umno sebagai seorang negarawan yang bertanggungjawab kerana tidak mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan akan datang.
Keputusan itu, katanya adalah kerana perdana menteri lebih mengutamakan parti dan rakyat.
Ketua Umno bahagian Batu Pahat itu yakin dengan kemampuan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memimpin Umno kerana beliau telah matang dalam politik.
"Najib ada satu ciri iaitu mempunyai banyak idea dan formula untuk menyelesaikan masalah dan kerumitan," tambahnya.
Yakin kemampuan Najib
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid, berkata, keputusan Abdullah tidak mempertahankan jawatan sebagai presiden adalah satu pengorbanan yang cukup besar.
Tindakan itu, katanya, datang dari orang yang berjiwa besar dan ikhlas serta beliau berminat hendak melihat Umno bersatu.
Oleh itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas di atas keputusan yang diambil oleh presiden Umno itu.
Mohd Rawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat juga yakin Najib mampu memimpin Umno.
Najib, katanya, adalah seorang pemimpin yang tegas dan dedikasi.
"Ini boleh memastikan Umno kembali mantap dan kukuh," tambahnya.
Pengganti Pak Lah
Walaupun menyambut baik keputusan perdana menteri itu, timbalan ketua perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Umno akan menjadi lebih kuat bergantung kepada siapa pengganti Abdullah.
"Jika pengganti Pak Lah lebih baik daripada beliau, Umno akan menjadi lebih kuat tetapi jika sama Umno tidak akan menjadi kuat.
"Kita kena tengok dahulu kepimpinan Najib sebagai presiden dan perdana menteri," katanya.
Manakala, ketua Umno bahagian Bukit Gelugor, Senator Datuk Omar Fauzar pula berkata, Abdullah menyerahkan jawatan itu kerana Najib sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Abdullah, katanya, berbuat demikian kerana merasakan perlu ada perubahan kepimpinan dalam Umno.
Berikutan itu, katanya, Umno bahagian Bukit Gelugor yang sebelum ini menetapkan untuk mencalonkan Abdullah sebagai presiden, akan mencalonkan Najib untuk jawatan tersebut.
