Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, keputusan untuk menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan Umno dapat meredakan keadaan dalam parti itu sekarang berhubung isu peralihan kuasa.
"Penangguhan itu juga baik untuk semua, untuk Pak Lah dan kepada parti," katanya selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini.
Sebelum itu, mesyuarat pagi tadi memutuskan menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan Umno dari Disember ini ke Mac tahun depan.
Bagaimanapun, mesyuarat perwakilan bahagian akan tetap diteruskan selama sebulan mulai 9 Oktober ini untuk mencalonkan jawatan-jawatan presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan anggota MT.
Menurut Muhammad, perhimpunan agung dan pemilihan parti dijangka diadakan akhir Mac.
Sehubungan, katanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga akan umumkan keputusannya sama ada akan bertanding mengekalkan jawatan presiden sebelum bermula mesyuarat bahagian.
Dalam sidang akhbarnya selepas mesyuarat MT, Abdullah berkata, beliau belum lagi memutuskan sama ada akan bertanding mempertahankan jawatan presiden.
Desak dipercepatkan
"Semua ahli MT menyambut baik keputusan penangguhan tersebut meredakan keadaan seperti panas (dalam parti)," kata Muhammad.
Beliau dipercayai merujuk perkembangan semasa dalam Umno berhubung pelan peralihan kuasa pada 2010.
Bagaimanapun, pemimpin akar umbi Umno tidak sekata mengenai tarikh tersebut dan banyak yang mendesak supaya tarikh itu dipercepatkan lagi.
Malah, sebahagian Umno bahagian secara terbuka dilaporkan mahu mencadangkan calon lain untuk jawatan presiden.
Regu pilihan mereka ialah Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
Ternyata perkembangan itu membimbangkan beberapa pihak dalam MT sendiri, sehingga mencadangkan Abdullah tidak bertanding kerana bimbang tidak mendapat pencalonan mencukupi.
Untuk layak mempertahankan jawatan presiden, Abdullah mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan atau 58 bahagian. Umno mempunyai 191 bahagian.
Mesyuarat bahagian
Mengulas lanjut mengenai keputusan mesyuarat MT tadi, Muhammad berkata, keputusan itu bermakna perdana menteri "mendengar suara di peringkat bawah".
Perdana menteri, tambahnya, akan mengumumkan pelan peralihan kuasa tersebut tetapi tidak tahu tarikhnya.
"Tetapi ada kena-mengena penangguhan perhimpunan agung Umno dengan pelan peralihan kuasa Abdullah kepada Najib.
"Pak Lah kata beliau akan umumkan sebelum mesyuaat bahagian 9 Oktober depan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi ahli MT Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pula menyifatkannya sebagai satu kaedah penyerahan kuasa.
Menurutnya, ia dipersetuju sebulat suara oleh ahli-ahli MT ketika ia dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.
"Mesyuarat MT hanya membincangkan isu ini sahaja dengan ramai MT yang bercakap mengenai perkara tersebut," katanya.