Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Atas alasan strategi, mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR malam tadi memutuskan bahawa hanya penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh membuat kenyataan mengenai usaha pembentukan kerajaan baru.

anwar ibrahim 02 060207 Selain beliau, hanya individu yang mendapat kebenaran parti dan Anwar yang dibenar mengeluarkan kenyataan mengenainya, demikian menurut sumber-sumber yang hadir dalam pertemuan tersebut.

"Sebarang kenyataan hanya akan mengganggu proses (tersebut).

"Sepatutnya sebelum dibuat, hendaklah berbincang dengan Anwar, hanya beliau yang tahu apa ceritanya,” kata sumber-sumber itu ketika ditanya mengenai mesyuarat tergempar itu yang berlangsung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Selain anggota-anggota MPT, beberapa ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, turut dijemput menghadirinya.

tian chua 03 Dalam mesyuarat itu juga, ketua penerangannya Tian Chua turut ditegur oleh Anwar kerana memberikan kenyatakaan kepada media tanpa merujuk kepimpinan parti terlebih dahulu.

Kelmarin, Tian Chua dilaporkan berkata, Pakatan Rakyat telah mula berunding dengan kerajaan berhubung penggantian kerajaan BN.

Tian juga dilaporkan berkata bahawa hubungan awal itu dibuat melalui "orang tengah" gabungan pembangkang dengan orang tengah perdana menteri.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari yang sama dan menyifatkannya sebagai "laporan yang paling gila" pernah didengarnya.

Anwar juga menafikan wujud rundingan seumpama itu.

Malaysiakini difahamkan pertemuan yang dimaksudkan Tian, juga ahli parlimen Batu, itu "memang wujud" tetapi tidak wajar didedahkan kepada umum.

Selain Tian, ahli jawatankuasa pusat PAS Mujahid Yusuf Rawa juga mengeluarkan kenyataan yang menambahkan kekeliruan berhubung projek pembangkang menumbangkan kerajaan BN.

Beliau menyatakan surat rasmi telah diutuskan kepada Istana Negara untuk membolehkan pemimpin-pemimpin Pakatan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun sekretariat Pakatan kelmarin menafikan surat itu telah dikirimkan kepada istana.

Menurut sumber-sumber lagi, senarai penuh ahli parlimen BN yang akan melompat kepada Pakatan juga tidak dibentangkan.

Bagaimanapun Anwar menunjukkan dokumen persetujuan bersama ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berhubung jaminan kebebasan beragama dan Islam.

Mesyuarat semalam mensasarkan pembentukan kerajaan baru dapat dibuat selepas hari raya Aidilfitri ini yang akan jatuh minggu depan, tambah sumber.

Mesyuarat juga menyarankan supaya diperbanyakkan program penerangan untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai peralihan kuasa secara aman.

Anwar, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, gagal menunaikan hasratnya untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September seperti diuar-uarkannya sejak April dan gagal memanggil sidang tergempar Parlimen untuk tujuan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Abdullah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS