Permohonan kemasukan semula mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Umno hendaklah diputuskan ketua cawangan dan bahagian yang bakal disertainya dan bukan melalui Majlis Tertinggi (MT), kata anggota Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir hari ini.
Mukhriz juga berharap yang bapanya itu, jika diterima balik, hendaklah dilantik sebagai penasihat Umno.
Ketika ditemubual oleh Bernama TV hari ini, Mukhriz berkata bapanya belum memutuskan cawangan dan bahagian mana yang beliau akan serahkan borang keahliannya tetapi yang pasti ialah borang berkenaan akan diserahkan sebelum Aidilfitri ini.
Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata beliau difahamkan bahawa MT dijangka membincangkan mengenai kemasukan semula ayahnya esok.
"Tapi bagi saya secara lazimnya, ayah (Dr Mahathir) hanya perlu serahkan borang keahlian kepada mana-mana cawangan atau bahagian dan biarkan ketua itu yang putuskan untuk terima atau tidak. Tidak perlu sampai ke MT.
"Kalau Ezam (Mohamad Ezam Mohd Noor - bekas ketua Angkatan Muda Keadilan) dulu masuk Umno disediakan karpet merah dan tidak sampai pun ke MT, sekarang (merujuk permohonan Dr Mahathir) kita tengoklah dulu apa yang akan jadi," katanya.
Mukhriz berkata tindakan bapanya keluar parti bertujuan untuk memberikan kejutan kepada ahli Umno supaya menghentikan krisis dalaman dan menumpukan kepada apa yang diagendakan.
"Sebelum ini dia (Dr Mahathir) buat keputusan keluar dari parti untuk kejutkan kita daripada tidur ibarat jam loceng yang kejutkan kita tetapi kita tekan butang "snooze" dan tidur semula.
"Ayah bersetuju setelah dipujuk oleh (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin-Naib Presiden Umno yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) bahawa untuk memulihkan parti, Tun harus kembali kepada Umno dan melakukan perubahan dari dalam.
"Dan itu pun dia setuju walaupun ahli biasa tapi saya kira dia punyai banyak perkara yang boleh dikongsikan dengan parti dan saya kira kalau Umno dapat berikan dia jawatan sebagai penasihat seperti yang dilakukan parti komponen BN lain," katanya.
Menurut Mukhriz, bapanya tidak ada menyatakan yang beliau berhasrat untuk memegang jawatan yang lebih tinggi.
"Bukan itu yang dia tujui sebab dia hanya nak bantu kita. Dia tak tergamak melihat parti yang setelah 62 tahun menerajui kerajaan dengan begitu baik jadi begini," katanya.
Dr Mahathir pada 19 Mei lalu mengumumkan keluar dari Umno yang dianggotai sejak 1946 berkuatkuasa serta merta dengan alasan tidak yakin dengan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dr Mahathir ketika mengambil keputusan untuk keluar dari parti mendakwa beliau berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.
Semalam, Mukhriz pada satu sidang akhbar di Shah Alam berkata, hasrat untuk menyertai semula Umno disuarakan bapanya setelah menyedari dan mengambil kira pandangan banyak pihak yang menyatakan bahawa khidmat beliau sangat diperlukan, dan untuk tujuan itu, beliau perlu berada di dalam dan bukan di luar Umno.