Parti Maju Sabah (SAPP) telah memutuskan untuk keluar dari Barisan Nasional.
Majlis Tertinggi SAPP yang bermesyuarat hari ini, bagaimanapun memutuskan bahawa ia tidak akan menyertai Pakatan Rakyat.
Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan yang kecewa dengan keputusan itu, telah meninggalkan mesyuarat tersebut.
Katanya, beliau akan meletak jawatan timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan infrastruktur negeri.
SAPP mempunyai dua ahli parlimen dan empat anggota dewan undangan negeri.
Dua ahli parlimen SAPP ialah Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau). Manakala Adun pula terdiri daripada Tan (Tanjong Papat), timbalan menteri kewangan negeri, Melanie Chia (Luyang), Au Kam Wah (Elopura) dan Liew Teck Chan (Likas).
Menurut Tan, beliau belum lagi memutuskan sama ada akan keluar dari parti itu, tetapi berkata, Au yang juga ketua Pemuda - yang tidak menghadiri mesyuarat hari ini - telahpun meletakkan jawatan.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang akhbar pada jam 4.30 petang selepas mesyuarat MT tersebut.
"BN telah hilang kuasa moralnya untuk memerintah. Jumlah majoriti di Parlimen tidak bermakna jika rakyat tidak lagi menghormati anda," katanya.
"Ahli-ahli SAPP yang memegang pelantikan politik dalam kerajaan mesti melepaskan jawatan mereka dengan memberi notis sewajarnya mengikut perlembagaan dan peraturan serta aturan yang berkaitan, bermula di peringkat kabinet," katanya.
Reaksi PM
Sementara itu, Bernama melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam reaksinya, berkata sudah sewajarnya SAPP meninggalkan BN kerana mereka merupakan masalah di dalam parti.
Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata SAPP disifatkan sebagai `pengacau' dan pemergian mereka harus dibiarkan.
"Mereka merupakan masalah dalam parti. Dia pengacau, biar dia pergi, tak apa," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Manakala Najib pula berkata keputusan SAPP sememangnya sudah dijangka sejak awal dan bukan sesuatu yang mengejutkan.
Katanya parti itu, sebenarnya mengharapkan agar mereka diusir oleh BN, tetapi telah bertindak terlebih awal sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.
"Ini bagaimanapun tidak menggugat BN dan kita tidak perlu membuat apa-apa'post mortem'," katanya.