Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat para pemerhati tertanya-tanya sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sekali lagi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini untuk mengumumkan rombakan kecil kabinet, perdana menteri membuat kenyataan yang membayangkan kemungkinannya.
Antara lain, Abdullah menyifatkan ketua pembangkang itu sebagai "satu ancaman kepada ekonomi negara, bahkan kemungkinan keselamatan".
Ini sudah cukup untuk memberi alasan kepada pihak pihak kuasa untuk menggunakan ISA terhadap Anwar dan membolehkan beliau ditahan tanpa bicara.
Sementara itu, Bernama memetik perdana menteri berkata tindak tanduk Anwar selama ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik tetapi juga kestabilan ekonomi.
"Ekoran tindak tanduk Anwar itu, terdapat pengurus dana yang membuat laporan kononnya Malaysia bukan tempat yang baik untuk membuat pelaburan kerana suasana politik negara yang tidak menentu," katanya.
Ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan terhadap Anwar ekoran ancaman tersebut, Abdullah berkata, sebagai berkata kerajaan akan melakukan apa yang perlu.
Abdullah berkata Anwar telah banyak membuat pembohongan mengenai kedudukan ekonomi negara termasuk kononnya tiada kemasukan pelaburan asing langsung (FDI), dan negara tidak mempunyai daya saing.
Sebaliknya, Abdullah berkata, FDI sebenarnya masih mengalir ke dalam negara ini, malah Malaysia merupakan antara negara yang diminati oleh pelabur.
Timbalan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan, dan yang turut hadir pada sidang akhbar itu, mencelah dengan berkata kadar pelaburan tahun ini mungkin lebih tinggi dari tahun lalu.
Mengenai kedudukan daya saing negara pula, Abdullah berkata Malaysia mencatatkan kedudukan lebih baik dari tangga ke-23 kepada tangga ke-19 sekarang.
"Anwar mahu melingkupkan negara dan mengekploitasi kepercayaan orang dan memperlecehkan negara di luar negeri," kata Perdana Menteri.
Najib juga berkata permainan politik Anwar boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.
Dan apabila ditanya apakah tindakan yang akan diambil terhadap Anwar, perdana menteri enggan menyatakannya, sambil berkata: "Saya tidak akan nyatakan apa rancangan yang saya ada."
Sekiranya Anwar ditahan di bawah ISA, ia bakal memberi kesan yang besar tetapi bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana Anwar sendiri percaya beliau mungkin ditahan.
Usaha ambil alih kuasa
Sejak pilihanraya kecil 8 Mac lalu, Anwar telah menjadi duri terhadap Barisan Nasional dengan rancangannya untuk mengambilalih kuasa.
Anwar yang sudah dua kali ditahan di bawah ISA, mendakwa beliau mempunyai jumlah ahli parlimen dari BN yang cukup menyertai Pakatan untuk membolehkan beliau menubuhkan kerajaan baru dengan majoriti mudah.
Anwar gagal merealisasikan rancangan mengambilalih kuasa semalam (16 September) - tetapi sekali lagi menegaskan bahawa beliau mempunyai jumlah ahli parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.
Beliau juga telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Abdullah bagi membincangkan pelan peralihan kuasa dan menggesa perdana menteri tidak mengambil tindakan drastik, seperti mengisytiharkan darurat, untuk menghalang usahanya itu.
Abdullah, bagaimanapun, menolak mengadakan pertemuan dengan Anwar dan menyifatkan dakwaannya untuk mengambil alih kuasa itu sebagai satu pembohongan.
Anwar, yang kini berdepan dengan tuduhan liwat, pertamakali ditahan di bawah ISA pada 1974 berhubung protes pelajar dan ditahan selama 20 bulan.
Lebih dua dekad kemudiannya, beliau sekali ditahan di bawah ISA seepas melancarkan siri protes terhadap pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998. Berita asal