Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Zaid ada atau tidak, pembaharuan diteruskan
Diterbitkan:  Sep 16, 2008 12:17 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Langkah kerajaan memperkenalkan pembaharuan dalam sistem kehakiman negara akan tetap diteruskan sama ada menteri yang bertanggungjawab melaksanakannya Datuk Zaid Ibrahim "ada atau tidak", kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

abdullah ahmad badawi pak lah 110907 "Kerajaan tidak bergantung kepada hanya seorang individu," kata perdana menteri dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan semua Ketua Setiausaha kementerian.

Zaid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang, dilaporkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya semalam, sehari selepas menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap cara kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

zaid ibrahim Dan pagi ini, Zaid mengumumkan beliau tetap dengan keputusannya untuk meletakkan jawatan dalam kabinet.

" Law reform akan tetap diteruskan dan berjalan seperti biasa sama ada Zaid ada atau tidak," kata Abdullah ketika ditanya mengenai kesan peletakan jawatan Zaid itu terhadap langkah memperkenalkan pembaharuan dalam sistem kehakiman negara, demikian menurut laporan Bernama .

Tanpa mendedahkan kandungan surat yang diserahkan oleh Zaid kepadanya semalam, Perdana Menteri sebaliknya berkata beliau telah meminta Zaid supaya "fikir habis-habis" hasratnya untuk meletak jawatan.

Minggu lalu, tiga orang ditahan mengikut ISA - ahli parlimen kawasan Seputeh Teresa Kok daripada DAP, pemblog Raja Petra Kamaruddin dan wartawan akhbar Sin Chew Jit Poh , Tan Hoon Cheng.

Bagaimanapun, Tan dibebaskan sehari selepas ditahan.

Kepada soalan bahawa terdapat enam menteri kabinet yang turut tidak berpuas hati dengan penggunaan ISA kali ini, Abdullah berkata mereka bukan tidak bersetuju dengan ISA tetapi cara penguatkuasaanya.

Lagipun, menteri-menteri itu memberikan pendapat mereka kerana dalam sebuah negara demokrasi, mereka berpeluang untuk mengutarakan pendapat seperti itu.

"Inilah jadinya apabila mereka diberikan peluang untuk bercakap. Demokrasi yang sihat," kata Abdullah.

Katanya, ISA akan dikekalkan kerana ia perlu untuk ketenteraman dan keselamatan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS