Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan kemenangan Datuk Harun Taib dari PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Manir, setelah menolak dengan kos, petisyen pilihanraya calon Barisan Nasional, Wan Sagar Wan Embong.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihanraya kawasan Manir, adalah cacat.
Mahkamah Persekutuan mendapati dakwaan Wan Sagar dalam petisyennya kononnya ejen-ejen Harun telah melakukan rasuah seharusnya lebih spesifik, demikian menurut laporan Bernama.
Hakim Zulkefli, yang membacakan penghakiman itu, berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dalam mendapati petisyen Wan Sagar itu cacat kerana ia tidak mengandungi butir-butir mengenai amalan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Harun.
Wan Sagar membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Mei yang menerima bantahan awal oleh Harun dan mendapati petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihanraya bagi kerusi Manir adalah cacat kerana ia tidak mengandungi butiran mengenai amalan rasuah, dan menolak petisyen itu.
Dalam pilihanraya 8 Mac lalu, Harun menang dengan majoriti 406 undi.
Harun diwakili peguam Mohd Ariff Yusof manakala Wan Sagar diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.