Pakatan Rakyat yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim masih yakin rancangannya untuk membentuk kerajaan baru akan berjaya dalam masa terdekat.
Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan rancangan ketua pembangkang itu sebagai "sesuatu perkara yang karut".
Bercakap di depan puluhan ribu penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya malam ini, Anwar berkata Pakatan Rakyat telah menghantar surat hari ini untuk bertemu Abdullah bagi membincangkan isu pembentukan kerajaan baru.
"Petang tadi, (ahli parlimen DAP) Anthony Loke, (ahli parlimen PKR) Johari (Abdul) telah pergi ke Putrjaya, hantar surat untuk berjumpa segera dengan perdana menteri sebab kita mahukan perubahan aman dan tenteram," kata Anwar.
"Kita sudah ada jumlah (wakil BN yang akan melompat kepada Pakatan), dan kita telah bersedia. Hari ini 16 September, esok 17 September, kita bersedia membentuk kerajaan."
Anwar, yang juga penasihat PKR, meyakinkan para penyokongnya bahawa rancangannya untuk menubuhkan kerajaan dengan cara memujuk lebih 30 wakil rakyat BN meninggalkan parti itu "masih seperti dirancang."
"Apabila kita kata 'on track' (masih seperti dirancang), maksudnya 'on track'.
"Hendak jadi macam mana (perubahan kerajaan pada 16 September), mereka bawa (ahli-ahli parlimen BN) ke Taipei," katanya, merujuk hampir 50 wakil rakyat BN yang secara mendadak dibawa melawat Taiwan beberapa hari lalu.
"Tetapi kita ada cukup jumlah untuk mengalahkan BN. Bukan hendak paksa, pergi Putrajaya hendak heret, ambil alih (kuasa kerajaan pusat) bukan mengikut hukum rimba, yang lalu tetap berlalu.
"Esok kita akan umumkan pendirian kita."
Sementara di Kuala Terengganu, lapor Bernama , sambil menempelak hasrat itu, Abdullah berkata pertukaran kerajaan baru tidak akan berlaku.
"Orang kita cepat sangat terkejut, tergempar, cepat sangat kelam-kabut tentang soal pertukaran kerajaan. Ketepikan semua perkara begini.
"Beri perhatian kepada perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan dan bukan sembang kosong yang tidak beri manfaat.
"Kita suka sangat berhujah dan bersembang tentang perkara ini (pertukaran kerajaan). Perkara ini tidak akan berlaku," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin malam ini.
Menurut agensi berita itu lagi, Abdullah meminta umat Islam meningkatkan ibadat bersempena bulan Ramadan dan tidak terlalu ghairah memperkatakan isu pertukaran kerajaan.
"Pembohongan ini menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut sehingga selepas berbuka dan Tarawih, bukan nak buat Taddarus tetapi yang dibincangkan ada hubung kait dengan pertukaran kerajaan.
"Sepatutnya kita guna bulan Ramadan ini untuk tingkatkan ibadah untuk kemuliaan di sisi Allah dan tidak digunakan bersembang perkara yang tidak akan berlaku," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Anwar membayangkan wujud perbincangan antara pihaknya dengan bekas ketua bahagian Umno Kota Bharu itu.
"Terima kasih kepada Zaid. Dalam beberapa hari lagi akan ada berita baik daripada Zaid. Ada orang kata kita beli (Zaid). Bukan beli, tetapi dia benci penahanan (bawah) ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," kata bekas timbalan perdana menteri.
Anwar bagaimanapun tidak menjelas lanjut berhubung perkara itu.
Zaid hari menyerahkan surat peletakan jawatan, namun perdana menteri memintanya bercuti sebelum mengambil keputusan muktamad tentang perkara tersebut.