kemaskini 11:24pm Datuk Zaid Ibrahim, yang membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut sumber, surat tersebut diserahkan kepada pejabat Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira 2 petang.
Zaid melahirkan rasa tidak senangnya pada langkah kerajaan menangkap exco kerajaan Selangor dan juga ahli parlimen DAP Teresa Kok, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng atas dakwaan mengancam keselamatan negara, Jumaat lalu.
Bagaimanapun dalam pertemuan mereka sebelum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertolak ke Terengganu, Zaid dinasihatkan supaya bercuti dan memikirkan kembali keputusannya itu.
Menurut Bernama , perdana menteri berkata Zaid mememui beliau di kediamannya di Seri Perdana di Putrajaya petang tadi dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.
"Dia ada sebut perkara itu (meletak jawatan) kepada saya, saya kata fikir betul-betul...
"Kalau dia letih sangat pergilah bercuti... pergi sekejap sudahlah," kata Abdullah kepada pemberita selepas berbuka puasa dan solat Maghrib bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin di Kuala Terengganu.
Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat berbual lama dengan Zaid kerana beliau bergegas untuk datang ke Terengganu.
Abdullah bagaimanapun berkata beliau belum sempat melihat
surat itu dan tidak tahu apakah alasan Zaid berbuat demikian.
"Surat itu tidak ada pada saya. Zaid jumpa saya di rumah, surat itu
dihantar ke pejabat," katanya.