Kumpulan lima orang pemimpin PKR berlepas ke Taiwan jam 2 petang tadi dalam misi untuk menemui ahli-ahli Parlimen BN yang sebelum ini dikatakan bersetuju untuk menyertai Pakatan Rakyat bagi membolehkan kerajaan baru ditubuhkan.
Mereka terdiri daripada pakar strategi PKR, Saifuddin Nasution; Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR, Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, Ketua Publisiti Wanita PKR, Elizabeth Wong dan ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR, Low Chee Cheong.
Penerbangan mereka akan mengambil masa selama empat setengah jam untuk sampai ke Taipei.
Mereka juga dijadualkan akan menginap di hotel yang sama yang menempatkan 49 ahli Parlimen BN yang kini dalam lawatan sambil belajar di Taiwan.
Menurut Tian Chua, mereka akan bertemu dengan beberapa ahli Parlimen.
Katanya, selain meminta mereka memikirkan kedudukan mereka dalam BN, mereka juga akan dimaklumkan bagaimana Taiwan berubah dari sebuah negara satu parti, menjadi salah sebuah negara yang paling pesat demokrasinya di Asia tanpa menjejaskan ekonominya.
Anwar, melalui partinya PKR bersama PAS dan DAP yang menganggotai Pakatan Rakyat, telah mengadakan perjumpaan dengan sebilangan ahli Parlimen BN, dalam usahanya untuk mengambil kerajaan pusat pada 16 September.
Pakatan kini menguasai 81 daripada 222 kerusi Parlimen.